DAPATKAH kita bayangkan bagaimana situasi seorang anak kecil terpaksa bertahan hidup dan tinggal sendirian di kawasan paya terpinggir setelah ditinggalkan oleh keluarganya sendiri?

Itulah secebis kisah dilalui Kya Clark, teraju utama filem Where The Crawdads Sing, sebuah naskhah adaptasi novel daripada judul sama, tulisan Delia Owens.

Tentunya ia bukan bukan tugas mudah buat pengarahnya, Olivia Newman untuk menggarap sebuah filem adaptasi daripada novel popular terlaris yang terlebih dahulu berjaya menambat hati pembaca.

Where The Crawdads Sing berkisar tentang konflik seorang gadis naif, Kya Clark yang hidup bersendirian di sebuah kawasan paya terpencil di Carolina Selatan semenjak kecil.

Selepas ditinggalkan bapa dan ahli keluarga, Kya menjalani hidupnya dengan penuh mencabar termasuk dipulau penduduk setempat yang menganggap dia sebagai gadis paya yang aneh.

Sebati dengan alam yang menghidupkan semangatnya, Kya begitu dekat dengan flora dan fauna di sekelilingnya dan gemar merakam keindahan itu menerusi lukisan yang turut menjadi cara dirinya meluahkan emosi dan ekspresi.

Bagaimanapun hidup gadis itu sekalii lagi terbeban emosi apabila dituduh membunuh Chase Andrews yang ditemui mati di kawasan paya tersebut.

Penceritaannya berselang antara perjalanan kehidupan Kya sebelumnya dengan kejadian selepas dia dituduh membunuh dan sedang menjalani perbicaraan di mahkamah.

Pendekatan tersebut berjaya menarik perhatian dan mengelakkan rasa bosan penonton untuk terus mengikuti apakah yang sedang berlaku kepada karakter-karakter yang terlibat.

Iklan

Pujian kepada Daisy Edgar-Jones yang cemerlang membawakan watak sebagai Kya, malah berjaya meyakinkan penonton betapa dia adalah gadis yang tersakiti oleh sikap tidak bertanggungjawab manusia-manusia di sekelilingnya. Malah, ekspresi wajahnya tanpa dialog juga terlihat penuh cerita.

Selain itu, sinematografi indah yang dipaparkan juga berjaya memberi pesona kepada penonton. Syot-syot yang berfungsi baik menyokong jalan cerita dan memberi gambaran tentang dunia Kya itu sendiri.

Namun plot twist pada penghujung cerita juga menjadi antara elemen yang menjadi kejutan menarik buat penonton.

Iklan

Bagaimanapun sayang sedikit apabila konflik yang ditampilkan dalam filem ini agak lemah dan tema asalnya seakan tenggelam dengan elemen romantis yang ditonjolkan menerusi babak-babak melibatkan Kya, Tate dan Chase.

Pun begitu, nyanyian Taylor Swift menerusi lagu tema berjudul California pastinya mengubat sedikit kekecewaan itu. Jangan ketinggalan menonton Where The Crawdads Sing di pawagam bermula 29 September ini.

Where The Crawdads Sing
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Drama/thriller
Durasi: 2 jam 5 minit
Pengarah: Olivia Newman
Pelakon: Daisy Edgar-Jones, Taylor John Smith, Harris Dickinson, David Strathairn
Tarikh Tayangan: 29 September 2022
Terbitan: Sony Pictures Entertainment