SELEPAS lebih setahun ‘berehat’, program kegemaran ramai, Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021) kini kembali.

Masih mengekalkan Datuk AC Mizal sebagai hos, MLM2021 menampilkan 11 kumpulan bertanding dan menyaksikan beberapa gandingan baharu.

Mereka terdiri daripada kumpulan Boro yang dianggotai oleh Achey, Atu & Fad; Puteh (Mamak, Vicha & Ali), 3Otak (Phoon Chi Ho, Farid Azmier & Parakash Daniel), R&R (Man & Rahim) dan Tobat (Shuk Sahar, Bell Ngasri & Ropie).

Diikuti Otai (Azlee, Ieda Moin & Acong), Orix (Achok, Yassin & Abu Mamu), Cawan (Aliff Yasraf, Wan Gegau & Che Mat Raja Lawak), Tiro (Sharif, Syaiful & Danial Zaini), Bahye (Zahid, Nizam Jentik Jentik & Shashic) dan Taici (Chiwan, Tapai & Ilham.

Selain itu, beberapa pembaharuan turut diperkenalkan pada musim ini termasuklah penampilan karakter juri misteri atau Naga Juri bersama tiga lagi juri tetap.

Iklan

Barisan juri tetap akan diumumkan secara eksklusif pada siaran langsung minggu pertama MLM2021 yang bermula pada Jumaat, 15 Oktober ini, manakala watak Naga Juri pula bakal didedahkan di pentas akhir kelak.

Program yang sudah memasuki musim kesembilan itu turut menampilkan Dina Nadzir sebagai hos segmen Backstage MLM2021, manakala Issey Fazlisham dan Yazmin Aziz pula mengendalikan program Live Plus.

Iklan

Mengangkat tema ‘Aura Baharu, Lawak Terpadu’, MLM2021 bakal berlangsung selama 10 minggu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada setiap Jumaat, jam 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (107).