KUMPULAN R&R yang terdiri daripada gabungan Rahim Sepahtu dan Man Raja Lawak akur apabila diumumkan tersingkir pada minggu ketiga program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Menerusi persembahan bertemakan ‘Majlis dan Entiti Prop’, R&R berada di kedudukan empat terbawah bersama kumpulan 3Otak, Puteh, Zero dan Cawan sebelum tersingkir dengan pungutan markah terendah sebanyak 35.27 peratus (%).

Sementara itu, kumpulan Tiro sekali lagi menjadi penerima Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat Adabi dan membawa pulang hadiah bernilai RM1,000.

Selain 3Otak, Puteh, Zero, Cawan dan Tiro, kumpulan lain yang turut meneruskan persaingan di pentas MLM2021 pada minggu hadapan ialah Boro, Tobat, Otai, Bahye dan Taici.

Dalam pada itu, kumpulan Tobat yang dianggotai oleh Bell Ngasri dan Ropie mendapat pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Shuk pada minggu lalu dengan kehadiran Ajak Shiro sebagai ahli baharu.

Persembahan setiap peserta diadili oleh lima juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor selaku ketua juri, Noh Salleh, Diana Danielle, Uqasha Senrose dan juri misteri yang dirahsiakan identitinya, Sang Bara.

Iklan

Barisan juri mewakli 5 HA dan 70% markah, manakala 30% lagi daripada undian penonton menerusi platform digital Gempak.

MLM2021 menggabungkan barisan pelawak baharu dan lama untuk berentap merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM500,000.

Iklan

Program dihoskan oleh Datuk AC Mizal itu disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (107), setiap Jumaat, bermula jam 9 malam.

(FOTO: Astro Gempak)