MELIHATKAN keadaan semasa, kebanyakan orang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sebenarnya memberikan kesan kepada penyanyi yang satu ini.

Kesukaran yang mereka lalui sedikit sebanyak memberikan pelajaran kepadanya untuk bersama-sama menghadapi apa sahaja dugaan dan rintangan yang mendatang.

Bagi Ahmad Adly, apa yang dilihat dan dirasainya itu diterjemahkan ke dalam lirik lagu Nota Hasratku yang menjadi pertaruhannya ketika ini.

Lagu yang sudah pun dilancarkan rasmi pada 6 Ogos lalu di semua platform digital dan YouTube Indigital Music membawa emosi Ahmad Adly bersama mereka yang berhadapan dengan apa juga kesukaran dalam hidup.

“Seperti yang kita semua tahu pelbagai dugaan yang dihadapi. Ada yang terganggu emosi sampai sanggup membunuh diri. Semuanya kerana tekanan yang tidak mampu dialui lagi.

“Tapi di sebalik ujian dan dugaan percayalah ada sinar juga menanti.

“Anda tidak keseorangan dalam menghadapinya memandangkan masih ramai yang mahu membantu.

“Jadi, jangan sesekali bersendirian dan carilah jalan untuk keluar daripada masalah tersebut,” katanya.

Bagi Ahmad Adly, dia yang mencipta lagu ini bersama komposer Nuriman menterjemah dengan baik apa yang mereka lihat, dengar dan rasai daripada situasi hari ini.

Tambahnya, pemilihan kata-kata untuk lirik Nota Hasratku juga begitu jelas menggambarkan turun naik emosi manusia yang sering berhadapan dengan pelbagai perkara baik dan buruk saban hari.

“Ada bait lirik yang menyebutkan “I might fall, masih ku berdiri, when I fall akan ku sendiri?

“Kita sebagai manusia perlu ada sistem sokongan yang baik di sekeliling untuk meneruskan hidup.

Iklan

“Sebab itu saya berharap lagu ini akan memberikan semangat kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya,” katanya yang turut menganggap lagu ini sebagai kisah perjalanan yang telah dilaluinya untuk bergelar seorang anak seni.

Bercerita mengenai perjalanan kerjaya seninya pula, Ahmad Adly sebenarnya merupakan finalis program Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2) yang disiarkan di TV3 awal tahun ini.

Dia yang berpasangan dengan Darling Shah menduduki tempat kelima ketika itu.

Menganggap apa yang dilalui sebagai sebuah pengalaman yang sangat berharga, anak ketiga daripada enam orang adik-beradik ini bersyukur kerana LCK2 memberikan dimensi baharu kepadanya untuk terus bersemangat menjadi seorang anak seni.

Iklan

“Tidak dinafikan LCK2 memperkenalkan nama saya kepada kebanyakan peminat.

“Ada yang sudah lama kenal, tak kurang juga yang baru menyedari kehadiran saya,” ujarnya.

Lagu Nota Hasratku merupakan kerjasama antara Indigital Music dan Alternate serta menjadi runut bunyi drama Lelaki Pendosa yang kini ditayangkan di TV3.