NASKHAH adaptasi sememangnya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dan terbukti masih menjadi pilihan penerbit syarikat produksi dan stesen TV.

Terbaharu, syarikat produksi Global Film Station Sdn Bhd menerusi terbitan saluran Astro Prima membawakan sebuah lagi adaptasi novel berjudul Suara Hati, nukilan novelis Anis Ayuni yang mengangkat genre kekeluargaan.

Drama 13 episod arahan sutradara Emy Suffian atau lebih dikenali dengan nama panggilan Pyan Screw itu menampilkan gandingan pelakon  Hanna Aqeela, Syafiq Kyle dan Aidil Aziz selaku teraju utama serta turut dijayakan oleh barisan pelakon seperti Zeera Hariz, Afzan A Rahman, Qistina Khaled, Syahir Shafein, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud dan Datuk Seri Rezza Shah.

Syafiq dan Hanna kembali berlakon bersama buat kali kedua.

Suara Hati bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai 19 Julai 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Drama ini mengisahkan Hani, seorang pelajar universiti bercinta dengan Harris yang juga aktif dalam aktiviti sukan. Hani kemudian diperkenalkan ibu bapanya dengan Naim, seorang pensyarah sambilan di universitinya.

Hani dan Naim mula mesra apabila Naim mula menolong Hani untuk projek universiti Hani. Tetapi Hani hanya menganggap Naim sebagai kawan biasa kerana Hani tahu, Naim dalam ada cita-cita untuk melamar teman wanitanya sebagai isteri.

Iklan

Kebahagian Hani dengan Harris tidak berpanjangan apabila Harris dengan tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita, dan terus membuatkan Hani kecewa. Hani yang kesedihan kerana kecewa dengan Harris, kemudian mula membuka pintu hatinya kepada Naim, yang juga baru gagal dalam percintaan.

Iklan
Syafiq menyifatkan watak Harris memberi cabaran tersendiri buatnya.

Harris muncul semula, tetapi sudah terlewat kerana Hani sudah pun menerima cinta Naim. Perkahwinan Hani dan Naim bahagia untuk beberapa ketika, namun tragedi yang menimpa perkahwinan Hani dan Naim telah mula mematahkan semangat Hani untuk terus hidup. Di saat itu, Harris tiba-tiba muncul semula di dalam hidup Hani.

Berikut adalah trivia menarik mengenai drama ini :

  1. Keseluruhan penggambaran drama Suara Hati mengambil masa lebih kurang sebulan di sekitar Kuala Lumpur.

  2. Ini merupakan penglibatan pertama pelakon Syafiq Kyle dalam projek drama bersiri untuk slot Tiara di Astro Prima dan juga gandingan pertama Syafiq serta Hanna Aqeela dalam drama sebagai watak utama.

  3. Hanna juga turut dikenali sebagai antara pelakon wanita yang aktif bermain bola sepak dan futsal. Oleh itu, kesemua babak futsal yang ditampilkan dalam drama ini dilakonkan sendiri oleh Hanna.

  4. Pengarah Emi Suffian berpendapat gandingan Syafiq dan Hanna mudah mencipta keserasian sebagai teraju utama dalam drama ini kerana kedua-dua mereka mempunyai minat yang sama iaitu aktif bersukan serta turut mempunyai jarak usia yang tidak jauh berbeza. Mereka juga saling mengambil berat dan memahami satu sama lain sebagai pelakon sekaligus memudahkan lagi proses penggambaran di set.

  5. Antara babak mencabar dalam drama ini adalah sewaktu penggambaran di set lokasi gelanggang futsal. Situasi agak sukar dikawal pada ketika itu kerana ramai pengunjung yang berada di premis futsal tersebut.