BIARPUN populariti belum menyebelahi dirinya secara total, penyanyi Muna Shahirah tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan berputus ada dalam memperjuangkan bakat seninya.

Percaya dengan segala perancangan disusun syarikat pengurusannya, FMC Music, Muna, 27, sentiasa memberikan yang terbaik menerusi empat single terdahulunya iaitu Takdir Cinta, Teguh Setia, Suratan Luka dan Bagaimana.

“Alhamdulillah sejak aktif secara sepenuh masa dalam bidang nyanyian sejak 2017, saya tampil dengan empat buah single dan bakal lancarkan lagu terbaharu dalam masa terdekat ini.

“Mungkin populariti saya tidak sehebat penyanyi seangkatan lain, tetapi saya bersyukur kerana banyak peluang yang saya peroleh dalam bidang ini.

“Rezeki orang lain-lain dan saya sentiasa percaya kepada usaha dan kesungguhan dalam mengerjakan sesuatu,” ujarnya kepada SinarPlus.

Berkongsi perkembangan terkini dirinya, Muna berkata, dia dalam persediaan tampil dengan single terbaharu, Bukan Milikku, ciptaan Ikhwan Fattana.

“Beberapa hari sebelum raya baru-baru ini, saya sudahpun siap menjalani penggambaran muzik video dan kini menunggu waktu sesuai untuk melancarkan single kelima ini.

“Saya masih lagi mengekalkan genre sama iaitu balada kerana ia bersesuaian dengan vokal saya selain diterima baik peminat,” katanya.

Muna masih mengekalkan genre balada untuk single terbaharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Mengulas tentang cabaran yang dilalui ketika pandemik ini, anak perempuan tunggal daripada tiga beradik itu berkata, dia bernasib baik dapat mencari inisiatif lain untuk menambah pendapatan.

“Pada awal pandemik bermula, memang saya sangat risau apabila persembahan nyanyian di tempat terbuka tidak dibenarkan, sedangkan pendapatan saya bergantung sepenuhnya di situ.

“Bagaimanapun tanpa disangka-sangka aktiviti bermain permainan video yang asalnya hanyalah hobi itu berjaya menjana pendapatan baharu buat saya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dulu sehingga sekarang.

Iklan

“Alhamdulillah dengan pendapatan sebagai streamer itu, saya dapat menampung perbelanjaan diri dan keluarga dengan secukupnya,” akuinya.

Dalam pada itu, Muna mengakui bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada kedua ibu bapanya dalam apa sahaja bidang yang diceburinya.

“Sejak dari dulu, saya sentiasa dedikasikan apa sahaja yang dilakukan untuk membahagiakan ibu dan ayah.

“Seawal usia 18 tahun, saya dah mula kongsi rezeki dengan mereka biarpun tidak banyak kerana saya mahukan keberkatan dan dalam masa sama menggembirakan mereka.

Iklan

“Malah setiap kali raya, saya wajibkan diri untuk menyediakan segala keperluan mereka secukupnya. Mereka tidak pernah meminta, tetapi saya sendiri bahagia untuk berbuat demikian.

“Insya-ALLAH jika ada rezeki, saya juga ingin menghantar mereka ke Tanah Suci, selain merealisasikan impian untuk membeli sebuah rumah buat mereka,” ujarnya yang meraikan Lebaran bertiga dengan kedua ibu bapanya di Mersing, Johor.

(FOTO: Rosli Talib & Instagram Muna Shahirah)