Nabil Ahmad akui berdepan ujian kekal istiqamah, ubah diri perlahan-lahan
KISAH penghijrahan pengacara, pelakon, pelawak, penyanyi dan pengarah, Nabil Ahmad ke arah yang lebih baik sememangnya sudah diketahui umum.
Namun di sebalik kisah positif itu, Nabil atau nama penuhnya Ahmad Nabil Ahmad mengakui proses penghijrahan itu tidak semudah disangka.
Akui figura berusia 38 tahun itu, sama seperti orang lain, dia juga berdepan dengan ujian dan dugaan untuk kekal istiqamah.
"Tidak dinafikan apabila kita memilih untuk berubah ke arah kebaikan, ujian terbesar adalah untuk kekal istiqamah.
"Pada awal proses ini, saya memang rajin beribadah, cukup solat lima waktu. Bagaimanapun perlahan-lahan ada beberapa perkara yang membuatkan saya solat lewat, kadang-kadang ada tertinggal solat.
"Tidak terhenti di situ, saya mula rasa semua orang salah, ada sahaja perkara yang saya nak tegur. Contohnya dengan isteri saya, ada saja benda yang tak kena yang membuatkan saya rasa nak tegurnya.
"Bagaimanapun perlahan-lahan saya belajar cara terbaik untuk menegur dan lebih bersangka baik kerana bukan semua orang sempurna, termasuklah diri saya sendiri," katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama media secara maya baru-baru ini.
Ditanya pandangan skeptikal segelintir netizen apabila melihat selebriti berubah ke arah kebaikan, Nabil berkata, niat seseorang itu diibaratkan seperti seekor semut hitam, di atas batu hitam, di dalam cahaya malam.
"Maksudnya kita tak tahu niat seseorang itu dan kita tak layak untuk menilai orang lain.
"Bagaimanapun saya rasa, pemergiaan Allahyarham Siti Sarah membuka mata orang supaya tidak mudah menilai artis.
"Kalau tak dulu orang nampak semua artis sama, buat duit, hidup senang, hidup dalam lagha, tetapi saya kira persepsi itu sudah berubah.
"Saya harap dengan impak yang ditinggalkan arwah, dapat kurangkan orang berkata-kata buruk tentang sesiapa sahaja dalam media sosial," jelasnya.
Nabil berkata, dia juga bersyukur apabila ramai kawan-kawannya terjebak untuk berubah ke arah kebaikan selepas dia berkongsi penghijrahannya.
"Ada kawan-kawan saya dari kampung yang tanya saya dengan siapa mereka boleh belajar agama. Padahal sebelum ini kami tidak pernah bercerita tentang agama.
"Disebabkan ramai yang berminat, saya buat satu kelas agama secara online dengan ustaz saya dan rakan-rakan.
"Alhamdulillah saya bersyukur kerana tak ada yang menjauh bila saya mula berubah. Sebaliknya yang dulu menjauh, kini semakin mendekat," jelasnya.
Terhutang budi dengan Astro
Ditanya adakah Nabil akan terus mengendalikan program hiburan biarpun kini lebih ke arah Islamik, anak jati Mambau, Negeri Sembilan itu berkata, dia akan terus menjalankan tanggungjawabnya selagi diperlukan.
"Saya selalu dapat soalan ini dan bila saya rujuk ustaz, mereka kata kalau saya tinggalkan dunia seni, ibarat saya tinggalkan medan perang.
"Walaupun saya mengendalikan program hiburan, namun saya boleh gunakan platform ini untuk selitkan dakwah dan berkongsi ilmu dengan penonton.
"Jadi selagi diberikan peluang oleh Astro, saya akan terus jalankan tanggungjawab saya. Saya tidak akan tinggalkan platform ini kerana kalau difikirkan, berapa ramai saja yang dapat peluang begini," katanya.
Tambah Nabil, dia juga sangat bertuah dan terhutang budi dengan Astro yang banyak memberi kepercayaan kepadanya sejak 13 tahun lalu.
"Saya bersama Astro sejak 13 tahun lalu. Siapa saya hari ini, atas platform yang disediakan oleh Astro. Mereka jaga saya sebaik mungkin dan beri saya pelbagai peluang daripada mengacarakan program besar, program bual bicara, tulis skrip dan terbaharu mengarahkan filem sendiri.
"Walaupun saya sudah mampu bergerak sendiri, tetapi kenapa saya perlu lepaskan peluang depan mata yang diberikan oleh Astro.
"Lebih-lebih lagi dengan situasi pandemik sekarang, saya bersyukur masih ada pendapatan dan ajaibnya walau tak banyak, saya dapat berkongsi apa yang saya ada dengan mereka yang memerlukan," ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, Nabil berkata, dia akan tampil dengan sebuah program animasi bersama Astro tidak lama lagi.
"Saya adalah selebriti pertama yang ada animasi sendiri, ia membawa kisah saya sendiri semasa kecil dengan lawak-lawak di kampung dan menggunakan loghat Negeri Sembilan.
"Setakat ini masih dalam produksi dan dijangka keluar dalam masa terdekat ini," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang