SETELAH tertangguh akibat penularan wabak pandemik Covid-19, akhirnya program pencarian Hero Remaja 2020 menemui titik noktah selepas Nadhir dipilih sebagai juara menerusi acara final yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 24, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, trofi dan selempang.

Umar pula dinobatkan sebagai naib juara program berkenaan dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM7,000, trofi dan selempang. Manakala Meerqeen terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan selempang.

Jabir dan Haziq pula, masing-masing mengisi tempat keempat dan kelima, menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000, trofi dan selempang.

Sementara itu, Aniq dipilih memenangi gelaran Hero Confident Nivea Man berdasarkan undian peminat dan Imran terpilih sebagai Hero Inspirasi atas kerjasama yang cukup baik sepanjang program pencarian berlangsung.

Pencarian Hero Remaja 2020 anjuran majalah Remaja kini memasuki 30 tahun penganjurannya.

Istimewa sempena tiga dekad penanjuran itu, program terbitan Nu Ideaktiv itu turut mendapat kolaboratif bersama Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) sebagai penyiar rasmi, tujuh episod program pencarian Hero Remaja 2020 telahpun disiarkan di saluran Astro Ria (124) dan Ria HD (104) bermula 26 Februari lalu pada setiap hari Khamis.

12 orang finalis berentap pada setiap minggu apabila diberikan cabaran berbeza seperti lakonan, aksi lasak, fesyen, pengacaraan, strategi perniagaan dan pelbagai lagi.

Iklan

Malam finale pencarian Hero Remaja 2020 menyaksikan gandingan pengacara, Ain Edruce bersama Awal Ashaari bagi memeriahkan siaran langsung selama satu jam.

Di kerusi juri tetap yang mengadili pula ialah Remaja 2005/06 Scha Alyahya dan Datuk Hans Isaac. Manakala, personaliti ‘thriple threat’ pengarah, pelakon dan penyanyi, Yusry Abdul Halim merupakan juri jemputan khas.

Walaupun acara finale dilangsungkan dengan kawalan ketat terhadap Piawaian Prosedur Operasi (SOP), namun ia tetap berlangsung penuh meriah.

Iklan

Hanya 50 orang penonton dibenarkan untuk menyaksikan siaran secara langsung di studio dan ia terdiri daripada penaja utama Hero Remaja 2020 iaitu NIVEA Men, pihak pengurusan dan para selebriti yang terdiri daripada alumni pencarian Hero Remaja terdahulu dan pencarian Dewi Remaja 2019.

https://www.instagram.com/p/CCtK8u6nfke/?utm_source=ig_web_copy_link