SYAWAL tahun ini memberi rasa yang pelbagai buat bintang yang semakin meningkat naik, Nadhir Nasar dan penyanyi popular, Sufian Suhaimi.

Di sebalik keterujaan berkumpul bersama keluarga dan sanak-saudara, dua jejaka ini sebenarnya kehilangan insan tersayang pada tahun lalu.

Nadhir berkata, datuk dan neneknya pergi dalam tempoh selang enam hari akibat Covid-19 pada tahun lalu.

“Ikutkan memang teruja untuk berhari raya tahun ini, tapi dalam masa sama sebak juga dada bila Aidilfitri terasa berbeza tanpa kehadiran datuk dan nenek.

“Nenek saya pergi terlebih dahulu tahun lalu akibat Covid dan datuk menyusul enam hari kemudian asbab sama,” ujarnya.

Tambah juara Hero Remaja 2020 ini, biarpun beberapa tahun sebelum arwah pergi, kedua-duanya sudah uzur, namun kehadiran mereka memberi aura yang berbeza.

“Ikutkan datuk memang sudah duduk atas kerusi roda dan nenek juga tidak sihat ketika raya 2019. Tetapi bila mereka ada, ia memberi suasana yang berbeza.

“Saya rindu momen bersalaman di pagi raya, melihat nenek memberi tahu apa yang patut dibuat ketika memasak, datuk melihat kami bermain bunga api.

“Walaupun ringkas momen itu, tetapi cukup bermakna. Alhamdulillah tahun ini walaupun mereka sudah tiada, ibu dan adik-beradiknya tetap meneruskan tradisi untuk berkumpul di rumah datuk nenek di Kuala Kangsar,” katanya yang akan pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Iklan

Hampir sama kisahnya dengan Nadhir, Sufian juga kehilangan nenek yang disifatkan sebagai ‘pengikat’ keluarga tahun lalu.

Katanya, bagi meneruskan tradisi untuk berkumpul bersama sanak-saudara, Sufian bersama keluarganya memilih untuk pulang ke Mersing, Johor tiga hari sebelum Lebaran dan seterusnya menyambut Aidilfitri bersama keluarga kecilnya di Muar.

“Ibu saya sentimental orangnya, jadi walaupun nenek sudah tiada, dia tetap usahakan untuk pulang ke kampung di Mersing dan berjumpa dengan adik-beradiknya yang lain.

Iklan

“Cuma kami pilih untuk pulang tiga hari sebelum raya, bersalam-salaman, bagi duit raya dan kemudian pulang ke Muar untuk beraya bersama kaum keluarga di sini.

“Walaupun arwah nenek sangat besederhana dalam menyambut hari raya, namun saya rasa dia pengikat tali kekeluargaan.

“Jadi bila arwah dah tiada, terasa kekuarangan itu dan secara tidak langsung banyak momen raya bersama yang saya rindukan,” jelasnya.