[VIDEO] "Baru saya tahu susu formula, pampers bayi mahal"- Naim Daniel wujud Misi Food Bank Semenyih

A
A
A

PENYANYI muda Naim Daniel antara selebriti yang proaktif melunaskan tanggungjawab sosial masyarakat dengan menyediakan food bank.

Pelantun lagu Sumpah itu rasa terpanggil untuk melaksanakan inisiatif tersebut susulan membaca kepayahan dialami golongan terjejas sehingga ada yang terputus bekalan makanan di bawah pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

Adakah projek food bank itu dilakukan sendirian atau mendapat kerjasama daripada rakan strategik lain?

Jom ikuti kupasan lanjut sesi Live SinarPlus kendalian Addy Junaidi bersama Naim Daniel baru-baru ini.

Jika diperhatikan Naim antara selebriti yang berkongsi rasa mengenai situasi pandemik Covid-19. Mungkin boleh jelaskan lebih lanjut bersama pembaca SinarPlus?

bendera putihKIBARKAN bendera putih yang dilaksanakan ketika ini antara kempen membantu masyarakat terjejas dari segi bekalan makanan dalam tempoh PKP3.0.

Naim rasa tatkala ini rakyat sedang melalui fasa hitam yang mana ia bukanlah sesuatu perkara boleh dibanggakan.

Ada antara kita bukan sahaja hilang arah, bahkan hilang pekerjaan dan kehidupan. Tidak kurang juga terkesan dan tertekan dari segi fizikal, mental dan emosi.

Saya yakin disebalik pandemik Covid-19 ada hikmah tersendiri.

Bagaimanapun, selagi situasi ini belum berakhir, maka masyarakat perlu bersatu padu mengekang penularan Covid-19 bagi mengelakkan hilang tempat bergantung.

Boleh dikatakan menerusi Direct Messages (DM) saya menerima ratusan pesanan daripada ibu tunggal, golongan bapa dan individu terpaksa tebalkan muka meminta bantuan barangan asas.

Bagaimana perasaan Naim membaca kiriman DM daripada mereka yang memerlukan bantuan?

naim danielBICARA penyanyi muda ini selagi mampu dan berdaya beliau ingin terus menyumbang bakti kepada masyarakat.

Satu saja yang terlintas, 'Ya ALLAH apa nak jadi dengan negara aku? ramai dihimpit kesusahan dan terjejas gara-gara pandemik Covid-19.

Saya juga pernah hidup susah yang mana enam bulan gagal melunaskan bayaran rumah, bahkan pada satu fasa tiada bekalan beras untuk dinikmati.

Bertitik tolak daripada itu saya ambil keputusan melaksanakan tanggungjawab sosial mewujudkan Misi Food Bank Semenyih bagi meringankan beban golongan memerlukan.

Boleh kongsikan lebih lanjut mengenai Misi Food Bank Semenyih?

Semuanya berlaku secara spontan sebaik sahaja bangun tidur. Tiba-tiba terdetik nak buat food bank dan segera buat research sama ada kawasan kejiranan saya sudah mempunyai food bank ataupun belum.

Jadi sasaran awal projek adalah di sebuah stesen minyak. Alhamdullilah, mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan untuk menjayakan food bank di sana (stesen minyak).

naim danielNAIM (tengah) mengambil inisiatif menjayakan Misi Food Bank Semenyih bagi meringankan bebas golongan yang memerlukan.

Tanpa berlengah saya segera membeli barangan keperluan asas berpandukan tip dikongsikan followers di media sosial. Antaranya beras, tepung, minyak masak, pampers (lampin pakai buang) bayi dan susu formula bayi.

Sejujurnya, semasa membeli saya tercenggang melihat harga pampers dan susu bayi boleh dikatakan mahal. Selama ini saya pelik apabila mendengar segelintir ibu bapa bersedih tiada wang untuk membeli dua produk itu.

Kini baru saya sedar itulah realiti dihadapi mereka yang mempunyai anak kecil. Umpamanya, jika tiada wang antara RM50 hingga RM100, maka 'jangan berangan' dapat membeli pampers ataupun susu formula. Situasi ini memberi kesan cukup mendalam pada diri saya.

Persoalannya, bagaimana ibu bapa nak mendapatkan barangan sedemikian sekiranya mereka diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan?

Bagaimana pula dari segi dana bagi memastikan Misi Food Bank Semenyih berjalan lancar?

naim daniel

Saya tidak membuka tabung sumbangan kepada umum. Jadi setakat ini misi dilaksanakan hasil dana peribadi dan pemberian kontak rapat sahaja memandangkan saya bergerak sendiri.

Tidak dinafikan ramai yang DM untuk turut sama menyumbang, tetapi saya memohon maaf buat masa ini belum dibuka.

Pun begitu, saya berbangga dengan semangat rakyat Malaysia yang saling membantu meskipun kita kini berada dalam situasi getir.

Justeru, bagaimana perkembangan terkini Misi Food Bank Semenyih?

Alhamdullilah, sudah dua kali food bank dilaksanakan dan berjalan lancar. Saya juga berusaha menambahbaik proses dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, memastikan keadaan terkawal, mematuhi prosedur operasi standard dan hanya meminta wakil keluarga hadir mengambil barangan.

Pun demikian, apabila melihat bantuan berjaya disalurkan kepada golongan yang amat memerlukan hati saya tersentuh dan bersyukur.

Insya-ALLAH saya akan cuba meneruskan misi ini selagi berdaya untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan. Lagipun saya yakin dalam rezeki kita terdapat rezeki orang lain.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca