BEKAS penyampai radio Era dan Sinar FM, Najman Mohamed, kini sedang dirawat di Hospital Pakar Puteri (KPJ), Johor Bahru selepas disahkan positif Covid-19 tahap empat beberapa hari lalu.

Berikutan paras bacaan oksigen dalam badannya yang rendah, Najman, 51, kini menggunakan bantuan oksigen.

“Demam melampau, level oksigen bawah level 92. Atas nasihat doktor guna oksigen.

“Ya Allah, sembuhkan penyakit hambamu ya Rabb,” tulis Najman menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya.

Selain Najman, isteri, Hawa Atan dan dua anak, Amirul Akidd dan Amirul Akiff turut disahkan positif.

Menurut Najman, dia merasa tidak sedap badan ketika melakukan senaman pada Isnin lalu, sebelum dimasukkan ke hospital.

“Isnin pagi buat senaman paru-paru, rasa lain macam dan terus ke hospital. Sampai terus terus buat Xray dan City Scan sebelum disahkan Covid tahap 3.

“Isteri ditahan di hospital pada 13 Ogos lalu dan sekarang berada di tahap empat dan sampai hari ini oksigen tidak stabil serta diberikan bantuan oksigen. Anakanda Amirul Akidd pun positif dan menjalani kuarantin di rumah,” tulisnya.

Iklan

Dalama masa sama, Najman memohon orang ramai agar mendoakan keluarganya diberi kesembuhan dan kembali sihat.

“Mohon doakan kami diberikan kekuatan dan kesembuhan. Allah jua yang Maha Penyembuh.

“Stay at home. Virus ni tak nampak dan tidak bergerak, manusia yang menggerakkannya,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, difahamkan keadaan Najman kini sudah berada ditahap empat berikutan paras oksigen dalam badannya yang semakin menurun. Sementara isterinya beransur pulih.

Satu majlis bacan Yasin dan doa selamat secara maya akan diadakan pada malam ini untuk Najman dan keluarganya agar segera sembuh daripada jangkitan Covid-19.