HAMPIR dua dekad menjadi anak seni dan beberapa tahun kebelakangan ini bergelar ahli perniagaan, Nana Mahazan, 39, boleh dianggap bijak menggunakan aset atau bakat dimilikinya.

Sekalipun tidak terarah menyanyi atau berlakon seiring dengan platform pertandingan Akademi Fantasia musim pertama yang memperkenalkan namanya, isteri kepada Mohammad Raqeem Brian ini masih rancak meneruskan survivalnya dengan cara tersendiri.

Suara yang dimiliki ibu kepada dua cahaya mata ini biarpun tidak digunakan untuk menyanyi, namun dia optimis dan sedar ruang.

Bermula dengan peluang menjadi penyampai radio, pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan ini seterusnya meneroka dunia pengacaraan.

Malah, Nana sendiri pernah mencuri kesempatan bergelar pelakon. Tapi sedar bakatnya mungkin tidak hebat seperti pelakon lain, fokusnya kembali kekal menjual ‘suara’ sebagai hos.

Semakin cantik selepas bertudung, Nana bijak menggunakan peluang yang ada untuk kekal relevan dalam industri seni.

Kini bersama pengaruh dimilikinya di Instagram dengan 794,000 pengikut, pemilik tanda pagar #nanaootdpagar itu kekal relevan dan kebal mengukuhkan jenamanya termasuk melebarkan empayar perniagaan kecantikan dan makanan.

“Saya percaya sekalipun pintu dunia seni yang membuka jalan dan pintu rezeki, jaminan itu belum tentu selamanya. Jadi saya percaya apa yang tertulis membuka 1001 rahsia dan hikmah. Namun sesungguhnya, Allah sebaik baik perancang.

“Suara yang saya ada dan jaja selama ini biarpun tidak kepada fokus utama menjadi penyanyi atau pelakon, tapi digunakan untuk mengacara dan berceloteh. Tetap ada kaitan, dekat dengan diri atau timbal balik. Tertutup pintu  rezeki itu, pasti ada punca lain yang akan dibuka-Nya.

“Malah menjadi artis dan wanita sendiri juga mengajar saya betapa pentingnya menjaga penampilan dan keyakinan. Suka melawa dan bersolek itu perkara biasa. Itu juga antara sebab mengapa saya memilih dunia perniagaan kecantikan menerusi Nana Mahazan Beauty sejak 2018,” katanya yang bertudung sejak tahun lalu.

Menangis tengok cermin

Malah kata Nana, pada awalnya perniagaan diceburi itu berpaksikan minat, mengisi masa lapang dan tentunya untuk menjana pendapatan sampingan.

“Namun lama kelamaan saya memahami dunia niaga ini sebenarnya menjadi perantara atau kenderaan untuk membantu ramai orang. Seterusnya, insya-Allah untuk mendapat reda dan keberkatan-Nya.

“Kini seiring penambahan usia dan penambahan ilmu niaga, hala tuju saya sebagai usahawan juga berubah dimensi. Dengan produk dikeluarkan, kita bermula dengan mahu menolong orang lain menjaga kecantikan dengan harga ‘best’ dan berpatutan.

“Seterusnya saya mula fikir bagaimana pula nak ajak pengguna produk menjadi sebahagian daripada syarikat dan menjana pendapatan sampingan sebagai ejen serta stokis. Tambah pula di era pandemik Covid-19, ramai antara kita yang bergelut,” katanya yang mula menjual alat solekan sebelum menghasilkan rangkaian produk penjagaan kulit.

Lebih daripada itu dan atas keikhlasan hati wanita berasal dari Muar Johor ini juga mahu memperkasa golongan wanita khususnya.

“Saya sendiri tahu bagaimana diselubungi perasaan sedih kerana tiada keyakinan diri. Saya boleh faham fasal pergelutan mereka yang diburu keresahan sebab kulit wajah teruk.

“Ironinya saya melalui fasa itu pada tahun 2017. Saya alami masalah kulit ‘breakout‘ atau timbul jerawat dan bintik merah kerana pori tersumbat dek pelbagai masalah melanda. Suami saya sendiri menjadi saksi paling dekat melihat saya ada dalam keadaan paling dasyat itu.

Keadaan wajah Nana ketika mengalami kulit muka bermasalah.

“Masa itu, saya akan tengok cermin sambil menangis setiap hari. Suami juga yang selalu suntik semangat tanpa gagal untuk saya cuba tips atau produk itu ini. Dialah penyokong setia menerima kelebihan dan kekurangan diri serta menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan saya.

Iklan

“Kalau ada pepatah di sebalik kejayaan lelaki ada wanita di belakangnya. Tapi kes saya, jadi sebaliknya,” ujarnya.

Kata Nana lagi, setahun lebih juga dia bangkit daripada fasa ‘breakout’ itu dengan mencuba pelbagai jenis produk kulit.

Malah selepas ramai melihat perubahan wajahnya, Nana terlintas memasarkan rangkaian jenama produk penjagaan kulit sendiri pada tahun 2020.

“Akhirnya saya bertemu dengan produk yang serasi dengan kulit wajah. Itupun selepas mencuba pelbagai produk. Selepas bertemu yang serasi, saya tidak lagi culas soal menjaga muka. Masalahnya produk itu harganya sangat mahal.

“Situasi itu (harga produk mahal)  menjadi titik tolak untuk saya cuba hasilkan produk seumpama dengan harga berpatutan.

Iklan

“Saya memilih buah kiwi yang dianggap sebagai ‘superfood’ dengan banyak khasiat dan nutrisi. Ia mempunyai sumber vitamin C lebih bagus berbanding oren.

“Ia juga  bagus untuk merawat kulit muka. Tambahan pula ia menjadi buah kegemaran saya dan keluarga. Rangkaian produk ini mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),  lulus Kementerian Kesihatan (KKM) dan harga ‘rakyat’,” katanya.

Di akhir bicara,  wanita yang kekal ‘stailo’ sekalipun bertudung itu sedar perjuangan sebagai usahawan takkan pernah terhenti.

“Setiap hari akan jadi ruang belajar dan terus memperbaiki diri. Saya mahu terus menginspirasi dan membantu golongan wanita khususnya seramai mungkin. Ia sama ada membina keyakinan diri dengan menggunakan produk atau menjana pendapatan.

“Saya mahu mewujudkan lebih ramai pemimpin dan wanita berdikari. Begitu juga keinginan mengubah mereka yang sentiasa rasa rendah diri. Saya nak tanam dalam diri mereka ini semangat atau jati diri yang kuat,” katanya.