Nana Sheme tetap berpegang pada prinsip

Nana Sheme - SinarPlus
Nana Sheme - SinarPlus
A
A
A

PELUANG kedua. Itulah yang disimpulkan penyanyi Nana Sheme berhubung perjalanan seninya pada fasa baharu selepas menyertai Big Stage 2020 (BS2020) yang melabuhkan tirainya minggu lalu.

Mengakui menimba pelbagai pengalaman menarik yang tidak pernah difikirkan sebelum ini, pemilik nama sebenar Nur Nabilah Hashimi, 25, berkata, apa yang dipelajari sepanjang menyertai pertandingan tersebut menjadi bekal terbaik untuk membina semula nama dalam bidang seni.

“Saya berani katakan melalui perubahan 360 darjah selepas  menyertai pertandingan ini, baik dari segi persembahan mahupun keyakinan diri.

“Saya anggap ia sebagai peluang kedua untuk memulakan langkah baharu dalam bidang seni yang telah saya tinggalkan lebih dua tahun sebelum ini,” ujar Nana yang menganggap BS2020 sebagai comeback terbaik dalam kerjaya seninya.

Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, anak kelahiran Sarawak yang mula menceburi bidang seni sejak lebih tujuh tahun lalu itu, kembali merencana kerjaya seninya.

Nana bersama syarikat pengurusannya, Xeno Entertainment, bakal tampil dengan pelbagai perancangan, selain meneruskan aktiviti promosi single terbaharunya, Ragu-Ragu yang dilancarkan pada Mac lalu.

“Single ciptaan Nadya Fatira yang digubah komposer Indonesia, Barry Maheswara itu merupakan percubaan saya untuk tampil dengan sesuatu yang dekat dengan diri sendiri, selain berhasrat menembusi pasaran Indonesia.

“Alhamdulillah sejak dilancarkan, lagu ini mendapat respon cukup positif daripada peminat yang menantikan lagu terbaharu daripada saya,” katanya.

Tidak hanya itu, kata Nana yang pernah popular dengan lagu Hantu Buaya, dia kini bersedia tampil berbeza daripada apa yang pernah diberikan sebelum ini.

“Sejak tampil menyampaikan lagu Ngam nyanyian Sophia Liyana yang berentak hip hop pada konsert suku akhir BS2020, ramai kata saya sesuai dengan konsep lagu itu dan mahukan saya tampil dengan single baharu yang mempunyai elemen sebegitu.

“Jujurnya ia memang sesuatu yang baharu pada saya kerana sebelum ini saya hanya tampil dengan lagu-lagu fun, tapi bila masuk BS2020, macam-macam yang saya buat termasuk buat rap.

“Saya sendiri akui, sejak menerima tugasan lagu tersebut, saya mula sukakan lagu-lagu sebegitu.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya dan pihak pengurusan ada perancangan untuk tampilkan sesuatu berkaitan itu selepas ini,” katanya yang terharu didatangi ramai peminat baharu.

Tolak gimik

Dalam pada itu, Nana yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), menolak untuk menjadikan gimik sebagai pelaris membina nama, sebaliknya memilih bekerja dari bawah meskipun mengambil sedikit masa.

“Pengalaman mendedahkan tentang banyak perkara, malah peningkatan usia juga mengajar kita untuk menjadi lebih baik.

“Saya tak nafikan gimik boleh membantu pemasaran, tetapi saya tetap berpegang pada pendirian untuk tidak bergantung kepada cara itu menaikkan kerjaya.

“Bagaimanapun ia terpulang kepada individu kerana masing-masing ada pandangan dan strategi sendiri untuk ke depan,” tegas Nana.

Tambah Nana, selain mahu tampil dengan karya yang menghiburkan, dia dalam masa sama mahu memainkan peranannya untuk menyebarkan perkara-perkara positif kepada masyarakat.

“Meskipun pandangan saya ini mungkin kedengaran agak klise, tetapi kenyataannya, itulah yang saya cuba usahakan sejak mula bergelar anak seni sehingga hari ini.

“Apatah lagi pada ketika media sosial menjadi medium utama komunikasi semua orang, kita sepatutnya menggunakan platform tersebut dengan sebaik mungkin.

“Jangan kita jadikan perkara-perkara negatif itu sebagai kebiasaan sehingga ia menjadi amalan dalam kehidupan sedangkan ia tidak betul.

“Di media sosial saya sendiri, jika ada pengikut memberikan komen tidak baik atau cuba membawa vibe negatif terhadap orang lain, saya akan terus menegur sebelum menyekat aksesnya di situ,” akhiri Nana.

 

(FOTO: Azrul Rafie - Astro)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca