LAMA rasanya tidak melihat kelibat primadona tinggi lampai ini di kaca televisyen mahupun di layar perak.

Biarpun jarang muncul, populariti Nasha Aziz tidak sedikit pun pudar, walau industri seni dibanjiri pendatang baharu yang hadir silih berganti.

Pun demikian, kepada yang rajin meninjau perkembangan fesyen tempatan, Nasha sering menjadi pilihan pereka untuk menggayakan busana mereka.

Jika menelusuri kembali rekod pembabitannya dalam filem, kali terakhir lakonannya adalah menerusi naskhah Aku Bukan Spy (Spy In Love) pada tahun 2016.

Kemudian, bintang berusia 51 tahun itu seolah-olah memperlahankan rentak seni lakonannya dan sekali sekala muncul dalam beberapa telefilem ataupun drama bersiri.

Saat diajukan mengenai penerimaannya dalam memilih tawaran berlakon, Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz mengakui begitu selektif.

Jelas Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-17, beliau sebenarnya sentiasa mahukan kelainan dalam karya yang dipersembahkan.

“Sebagai pelakon, apabila ada yang percaya kemampuan saya untuk berlakon, saya mahu berikan yang terbaik. Atas sebab itu, saya sentiasa mahu keluar dari zon selesa dan tidak mengulangi karya-karya yang telah berjaya saya lakukan.

“Kalau saya berikan semula apa yang telah berjaya saya lakukan sebelum ini, ia bagai tidak memberi makna. Justeru, apa sahaja tawaran yang akan saya terima pada masa akan datang, saya akan pastikan ada kelainan untuk ditunjukkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Tablis Iblis di Panggung Asia, Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

TABLIS IBLIS
Barisan pelakon Tablis Iblis dan pengarahnya, Kabir Bhatia (berbaju hitam).

Beritahu Nasha, tatkala skrip filem Tablis Iblis diserahkan kepadanya, beliau tidak berfikir panjang.

“Saya terus menerima pelawaan tersebut walaupun watak Junaidah dalam karya ini lebih tinggi tekanannya berbanding Jeslina (dalam filem Trauma), namun saya puas kerana dapat tampilkan sesuatu yang berbeza,” ungkapnya.

Apabila menyentuh isu tekanan, ramai yang mengaitkan peristiwa yang direntas Nasha ketika membintangi filem Trauma pada tahun 2004.

Ketika itu, beliau dikatakan mengambil masa lama untuk memulihkan semula emosinya.

Bagaimanapun jelas empunya diri, perkara itu tidak berulang dalam filem Tablis Iblis yang diarahkan oleh Kabir Bhatia.

Iklan

“Tidak lama selepas penggambaran Tablis Iblis, abang saya meninggal dunia dan kemudian fasa pandemik Covid-19 pun bermula. Saya membuat keputusan untuk berpindah ke rumah ibu saya dan tinggal bersamanya. Momen yang diluangkan bersama ibu membawa saya keluar daripada tekanan yang saya hadapi.

“Bukan itu sahaja, ALLAH SWT berikan saya rezeki yang berbeza, alhamdulillah,” tuturnya yang sangat lembut ketika membutirkan bicara.

Bahasa cinta

Terlanjur berbual bersamanya pada petang itu, Nasha diusik pula perihal gerangan individu yang memberikannya jambangan bunga hampir setiap hari.

Perkara itu didedahkan penerbit drama terkenal, Fadzil Teh atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Zil yang memaklumkan pelakon itu menerima hadiah istimewa tersebut ketika berada di set penggambaran naskhah terbitannya.

Iklan

Tidak mahu berahsia, Nasha menyifatkan pemberian bunga itu sebagai bahasa cinta.

Pun demikian, beliau tidak mahu terburu-buru untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Saya rasa itu simbol cinta. Betul tak? Simbolik bunga itu mungkin mahu saya selalu mengingatinya. Mungkin dengan sifat itu (pemberian bunga), dia boleh menarik perhatian saya.

“Insya-ALLAH, dia mungkin menepati (pilihan). Namun, kita kena kenal lebih rapat lagi kan? Ruang (untuk rapat) itu susah juga sebab baru sembilan bulan kami berkenalan,” katanya yang mengunci bibir tentang identiti jejaka yang barangkali akan menyerikan kehidupan beliau kelak.