Nasi dagang gamit memori raya Daiyan Trisha
MEMORI menyambut Aidilfitri ketika usia kanak-kanak menjadi antara perkara yang akan selalu dikenang pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha. Apatah lagi, saban tahun lebaran diraikan di kampung halaman ibunya, di Kuantan, Pahang.
Kini tradisi balik kampung itu kembali dirasai Daiyan, 29, apabila dia dan keluarga dapat beraya di sana selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.
“Alhamdulillah tahun ini dapat pulang beraya di Kuantan dan kembali berkumpul bersama saudara-mara di sana. Dua tahun tak dapat jumpa, semestinya banyak cerita menarik nak dikongsi, selain melepas rindu.
“Terkenang memori raya zaman kanak-kanak di mana saya adalah orang paling gembira bila tiba raya. Teruja main bunga api dan buat macam-macam aktiviti kerana sambutan raya di kampung ibu memang sangat meriah.
“Sekarang bila usia dan meningkat dewasa, cara sambutannya dah lain sikit, tapi perasaan teruja tetap sama untuk sambut raya beramai-ramai,” ujarnya.
10 pasang baju
Bercerita tentang juadah raya kegemarannya, bintang Projek: Anchor SPM itu berkata, nasi dagang adalah antara menu wajib yang akan disajikan keluarganya pada 1 Syawal.
“Kalau beraya di Kuantan, memang nasi dagang menjadi pilihan utama. Nenek saya memang pakar memasak juadah ini dan nasi dagang paling sedap memang daripada hasil air tangannya.
“Bagaimanapun nenek sekarang sudah tak larat nak masak lagi dan tugasan itu diambil alih ibu. Saya juga akan membantu di dapur dan menyiapkan juadah untuk keluarga,” katanya.
Melengkapkan misinya untuk menziarahi kenalan dan saudara-mara sepanjang Syawal ini, anak kedua daripada lima beradik itu menyediakan beberapa pasang baju raya untuk digayakan.
“Tahun ini saya merupakan ‘muse’ untuk baju raya rekaan Alia Bastamam. Jadi ada banyak sikitlah baju raya, di mana 10 pasang daripada Alia, selain jubah yang saya beli di Madinah ketika mengerjakan umrah pada pertengahan Ramadan lalu.
“Seronok sikitlah untuk keluar beraya bersama keluarga nanti. Insya-ALLAH pada tahun ini, kami juga akan mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri,” katanya.
(FOTO: Azrul Rafie - Astro)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang