Naskhah biografi Buya Hamka penuh pesona

A
A
A

SETELAH sukses ditayangkan di Indonesia pada April lalu, filem biografi yang paling dinantikan ramai, Buya Hamka kini memasuki pawagam di tanah air bermula 15 Jun lalu.

Naskhah arahan Fajar Bustomi ini sangat istimewa dan merupakan sebuah karya yang menyingkap kisah hidup dan perjuangan seorang tokoh hebat kelahiran Indonesia, Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

Beliau bukan sahaja berjasa kepada bangsanya, tetapi juga masyarakat nusantara yang menyanjunginya sebagai ulama dan sasterawan ulung.

Tidak mahu meninggalkan bahagian-bahagian penting daripada pengkisahan panjang tokoh ini, filem terbitan Falcon Pictures & Starvison Plus itu di bahagikan kepada tiga volume berbeza yang dimulai dengan filem pertama ini.

Antara adegan menarik dalam Buya Hamka Vol 1.

Buya Hamka Vol. 1 ini akan menampilkan era di mana Hamka menjadi pengurus Muhammadiyah di Makassar dan berhasil memberikan kemajuan pesat pada organisasi tersebut.

Hamka juga mulai membuat penulisan sastera dan karya tulisannya itu sukai para pembaca. Beliau dan keluarganya kemudiannya berpindah ke Medan selepas ditugaskan pemimpin redaksi majalah Pedoman Masyarakat.

Peranan itu akhirnya membawa kepada perjuangan Hamka menpertahankan bangsa dan tanah airnya menerusi penulisan sehingga mendapat perhatian Jepun yang berkuasa ketika itu.

Bagaimanapun usaha Hamka melakukan pendekatan jalan tengah kepada Jepun disalah anggap sebagai ‘penjilat’ dan dimusuhi masyarakat sehingga diminta mengundurkan diri daripada jawatannya sebagai pengurus Muhammadiyah.

Semestinya bukan satu tugas mudah buat pengarahnya untuk menggarap filem yang melibatkan tokoh tersohor ini, tetapi Fajar Bustomi dilihat berjaya memberi peluang kepada penonton untuk mengenali sisi sebenar seorang Hamka.

Sosok yang cukup dikagumi sebagai ulama dan penulis luar biasa itu digambarkan dengan penuh sederhana, tetapi cukup memberikan inspirasi dalam setiap apa yang dilakukan, malah terhadap orang di sekeliling, terutama isterinya, Siti Raham.

Ketika mengisi peranan sebagai ulama, Hamka tampil dengan karakter yang penuh jiwa, bertolenrasi dan berpandangan jauh, manakala ketika menjadi penulis dan berhadapan dengan Belanda, semangatnya menyala-nyala dan tidak gentar dengan apa pun.

Namun sebagai suami, beliau diperlihat sebagai seorang romantis, sangat menghormati wanita dan yang tidak ragu mencurahkan sisi rapuhnya.

Lakonan hebat

Vino G. Bastian yang diberi tanggungjawab tersebut ternyata adalah pilihan tepat yang berjaya menjelmakan karakter tokoh terbabit dengan sedekat mungkin. Penguasaan dialek Minangnya juga cukup meyakinkan, malah wajar diberi pujian.

Vino G. Bastian dan Laudya Cynthia Bella tampil dengan lakonan cemerlang.

Bagitu juga dengan penampilan Laudya Cynthia Bella, cemerlang sebagai Siti Raham yang penuh pesona.

Dialog-dialog yang ditampilkan juga sangat mendalam maknanya, termasuk beberapa petikan daripada tulisan popular Hamka seperti ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja’.

Penceritaanya berat, tetapi indah dan penuh inspirasi. Disokong juga dengan sinematografi penuh kualiti, selain latar set dan kostum yang berjaya mewujudkan mood era itu.

Tidak dinafikan filem ini juga mempunyai beberapa kelemahan, tetapi itulah cabarannya yang mungkin digalas pengarahnya yang perlu memadatkan pengkisahnya ini dan dalam masa sama perlu berhati-hati dengan pilihan yang dilakukan.

Secara keseluruhannya naskhah Buya Hamka Vol. 1 tidak harus dilepaskan. Sebuah filem biografi yang banyak meminjamkan inspirasi yang boleh dimanfaatkan bersama.

Buya Hamka: Vol. 1

Bahasa: Indonesia

Klasifikasi: P13

Genre: Biografi/drama

Durasi: 1 jam 46 minit

Pengarah: Fajar Bustomi

Pelakon: Vino G. Bastian, Laudya Cynthia Bella, Donny Damara, Anjasmara, Desy Ratnasari

Edaran: TGV Pictures

Tarikh Tayangan: 15 Jun 2023

(FOTO: TGV PICTURES)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca