#SiBibirMerah: Asyik langgar SOP jer, lebih 60,000 sign petisyen desak penjarakan Neelofa
"Asyik dia saja langgar SOP."
Berikut antara komen yang Bibir Merah baca menerusi laman sosial Facebook Sinar Harian.
Hantaran sedemikian ditulis susulan timbul cerita baharu hari ini bahawa polis akan menjalankan siasatan terhadap selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) yang didakwa tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara itu.
"Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang.
"Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh," katanya menerusi kenyataan media.
Kontroversi tersebut mula menjadi pertikaian dalam kalangan warga maya selepas foto dirakam kumpulan media menunjukkan niqab yang dipakai selebriti itu jelas menampakkan bentuk hidung dan bahagian mulutnya.
Bibir Merah pun tak tahu sampai bila cerita mengenai dakwaan Neelofa berusia 32 tahun melanggar SOP terus menjadi bualan.
Gara-gara insiden kurang manis itu telah menyebabkan masyarakat lupa kisah kejayaan beliau dalam dunia perniagaan dan penghijrahannya bertudung, sekali gus mengenakan niqab. Sayang sama sekali.
Dek rentetan satu persatu kesalahan melanggar SOP dilakukan Neelofa dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) rakyat mula muak kerana menyifatkan berlakunya double standard antara golongan kayangan dan marhaen.
Lantas satu penandatangan petisyen dilancarkan menerusi www.change.org dua hari lalu yang mendesak supaya Neelofa dan pasangan dipenjarakan.
Setakat artikel ini ditulis petisyen bertajuk 'Langgar SOP: PDRM Penjarakan Neelofa Segera' telah ditandatangani sebanyak 61,37 orang yang 'tidak berpuas hati'.
Bahkan, di dalam portal terbabit turut tertera hashtag #penjarakanneelofa dan tagline 'Bukan sekali, bukan dua kali, tapi berkali-kali terjadi...'.
"Neelofa merupakan seorang selebriti yang telah banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.
"Kesalahan-kesalahan telah dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang double standard dikenakan terhadap beliau," jelas kenyataan portal tersebut.
Pada masa sama, www.change.org turut menyenaraikan kesalahan melanggar SOP yang telah dilakukan Neelofa dan keluarga:
1. Majlis Perkahwinan Neelofa & PU Riz di Grand Hyatt - Mac 2021 (tindakan telah diambil).
2. Honeymoom di Langkawi - Mac 2021 (tiada tindakan undang-undang diambil).
3. Rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan tanpa sebab kukuh, sebaliknya ke kedai carpet - Mei 2021 (tiada tindakan undang-undang dikenakan).
4. Neelofa dan seluruh ahli keluarga berkumpul di rumah ketika hari raya Aidilfitri - Mei 2021 (langgar SOP Aidilfitri, tiada tindakan undang-undang diambil).
Tulisnya lanjut: "Berdasarkan kesalahan-kesalahan berulang ini kami desak kerajaan Malaysia dan PDRM untuk Neelofa segera dipenjarakan tanpa kompromi sebagai isyarat jelas kepada kerajaan untuk tidak amalkan undang-undang double standard kepada VVIP dan orang kenamaan!"
Bagi Bibir Merah, rakyat Malaysia mempunyai hak dan ruang untuk menzahirkan ketidakpuasan hati kepada Neelofa dan famili. Tiada siapa menyekat kebebasan korang menandatangani petisyen berkenaan.
Pun begitu, peluang kebebasan yang diberikan janganlah disalahguna sehingga kita melangkaui urusan pihak polis dan mahkamah.
Sebaik-baiknya biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut prosedur dan hukuman sewajarnya ditentukan mahkamah. Bukannya, menerusi 'kuasa netizen'.
Bibir Merah berharap situasi yang berlaku terhadap Neelofa sedikit sebanyak membuka mata golongan selebriti.
Sepatutnya artis ataupun personaliti menggunakan populariti untuk mengajak peminat melakukan kebaikan dan melunaskan tanggungjawab mematuhi SOP.
Apatah lagi, negara kita sedang bertarung dengan pandemik Covid-19. Kasihanilah frontliners!
Sumber: Bernama, @neelofa dan www.change.org
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang