Persatuan Hentikan Pemerdagangan Manusia (SHUT) dengan kerjasama Amazing Creative Group (ACG) bakal menganjurkan sebuah konsert amal, Konsert Suara Raya yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Mei ini, jam 8 malam.

Konsert selama dua jam yang berkonsepkan hari raya itu akan menampilkan tiga penyanyi popular tanah air yang terdiri daripada Ning Baizura, Aina Abdul dan Iman Troye yang akan menyampaikan lagu raya serta seleksi hits mereka.

Menurut Pengasas dan Presiden SHUT, Dalilah Wan Nordin, penganjuran konsert yang julung kali diadakan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran sosial masyarakat terhadap isu pemerdagangan manusia yang semakin serius pada masa ini.

“Kami menggunakan pendekatan konsert kerana mahu menarik perhatian dan memberi kesedaran kepada lebih ramai golongan muda untuk mengambil tahu tentang isu pemerdagangan manusia ini.

“Sambil berhibur, kami akan menyalur beberapa maklumat penting untuk dikongsi dengan penonton agar mereka sentiasa waspada dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Pemilihan Ning Baizura, Aina Abdul dan Iman Troye juga adalah kerana mereka mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan peminat pelbagai latar belakang dan peringkat umur. Jadi kami harap konsert ini akan dapat mencapai sasaran dan memenuhi objektif penganjurannya,” katanya.

Sebanyak 15 peratus (%) hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada tabung SHUT dalam misi memperjuangkan isu pemerdagangan manusia.

Iklan

Tiket konsert Suara Raya dijual dengan harga RM199, RM259, RM499 (Premium) dan boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook: https://www.facebook.com/amazingcreativegroup atau talian 010-314 5043.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi