SETELAH berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, penyanyi Nizam Laksamana menerusi syarikat miliknya, Nizam Laksamana Production dengan kerjasama Saudagar Seni menarik nafas lega apabila Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Lagenda 3.0 berlangsung meriah di Bangi Resort Hotel, pada Sabtu lalu.

Biarpun pada malam sama turut berlangsung dua lagi konsert penyanyi terkenal tanah air, Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nizam Pechok bersyukur apabila persembahan amal tersebut mendapat sambutan luar biasa dan mencapai sasaran apabila kesemua 48 meja habis terjual.

“Saya sangat terharu apabila jualan meja mencapai sasaran biarpun peminat ada pilihan lain menerusi beberapa persembahan yang turut berlangsung pada malam sama.

“Biarpun berdepan pelbagai cabaran sepanjang merealisasikan persembahan ini terutamanya daripada aspek penajaan, saya berpuas hati melihat apa yang berlaku dan pencapaiannya jauh lebih baik daripada dua edisi sebelum ini.

“Ternyata ramai peminat yang mahu bersama-sama menyokong persembahan amal di mana mereka dapat berhibur sambil membantu mereka dalam kesusahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Nizam, sebahagian kutipan jualan tiket Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Lagenda 3.0 dan sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada Cancer Survivors Malaysia, satu badan NGO yang aktif memberi bantuan kepada pesakit kanser yang beroperasi di Kedah.

Biarpun isterinya, Salwati Zulkifli yang juga penghidap kanser, vokalis kumpulan Laksamana itu berkata, penganjuran persembahan tersebut bukan semata-mata kerana isterinya.

“Saya pilih Cancer Survivor Malaysia kerana mengikuti perkembangan mereka yang sentiasa aktif membantu pesakit-pesakit kanser. Mereka sentiasa turun padang dan setiap hari ada saja program yang mereka buat untuk membantu pesakit.

“Isteri saya tidak akan terima satu sen pun daripada sumbangan yang diperolehi untuk persembahan ini. Ikutkan dia layak, tapi bagi saya cukuplah kalau orang ramai doakan isteri saya sihat.

“Saya boleh cari duit sendiri dengan menjual maruku dan buat sewaan peralatan PA Sistem. Alhamdulillah anak-anak semua dah kerja. Saya kira orang lain lebih berhak untuk menerima,” katanya.

Antara artis yang menjayakan persembahan Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Legenda 3.0.

Dalam pada itu, Nizam menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak yang tampil membantu termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terawal menyatakan sokongan dengan membantu kos pengurusan showcase, selain turut memberi sumbangan kepada NGO tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Legenda 3.0 adalah edisi terakhir yang dianjurkan selepas Showcase Amal Artis Legenda 90an 1.0 pada 2019 dan Showcase Amal Artis Legenda 90an 2.0 (2020).

“Kalau nak buat 4.0 magisnya akan kurang dan kita juga tidak akan dapat keghairahan sama. Saya akan tetap buat projek-projek amal, cuma mungkin dengan cara lain pula.

“Selepas ini, mungkin saya kena pastikan ada penaja utama dulu. Buat kerja tanpa penaja amat susah kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.

Peminat terhibur

Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Legenda 3.0 berlangsung meriah dengan persembahan hebat daripada barisan artis popular era 1990-an yang terlibat.

Iklan

Selain Nizam sendiri yang tampil menyampikan lagu popularnya, Gugurnya Bunga Cinta, penonton dihiburkan dengan persembahan Rahmad Mega (Takdir dan Waktu dan Bayangan Gurauan), Daqmie (Liya Juwita dan Tangis Sebatang Tamar), Baggio (Umpama Mimpi Dalam Mimpi dan Sufi) dan Ibnor Riza (Berdiri Seorang Perindu dan Mimpi Yang Tak Sudah).

Diikuti Ezad Lazim (Jesnita dan Mengintai Dari Tirai Kamar), Zarul Umbrella (Bukalah Hatimu dan Ramalanku Benar Belaka), Tam Spider (Kasih Latifah, Jangan Kau Berputus Asa dan Rela Kupujuk) dan Ramlah Ram (Zapin Yang Tinggal dan Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu).

Acara yang dihoskan oleh Bob Ringgo itu juga turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh bekas peserta Mentor Otai, AJ Azril.

Masing-masing tampil dengan persembahan yang memikat dan menghiburkan penonton yang rata-ratanya turut sama menyanyi sepanjang persembahan berlangsung.

Iklan

Pemilihan lagu-lagu hits dendangan barisan artis terlibat juga ternyata berjaya menghangatkan suasana persembahan yang penuh dengan energi.

Tidak hanya menyaksikan persembahan, penonton juga berpeluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan artis pujaan mereka.

Ramlah Ram biarpun dalam keadaan yang kurang sihat berjaya mencuri perhatian ramai apabila berjaya tampil dengan persembahan hebat. Malah penyanyi bervokal tinggi itu juga sempat turut daripada pentas dan melewati meja penonton untuk berada lebih dekat dengan para peminatnya.

Secara keseluruhannya Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Legenda 3.0 berjaya mencapai sasaran dan menjadi sebuah persembahan yang cukup mengiburkan.

(FOTO: Nizam Laksamana Production)