Nizam Laksamana teruskan misi bantu rakan artis

NIZAMA LAKSAMANA
NIZAMA LAKSAMANA
A
A
A

BIARPUN berdepan pelbagai cabaran berikutan pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda reda, penyanyi Nizam Laksamana tetap meneruskan perancangan menganjurkan Showcase Amal Artis Lagenda 90-an 3.0.

Baginya, penganjuran showcase edisi ketiga itu perlu diteruskan demi membantu rakan-rakan artis dan keluarga mereka yang berada dalam kesusahan.

Kejayaan dua showcase sebelum ini juga menjadi pembakar semangat buat Nizam menerusi syarikatnya, Nizam Laksaman Production untuk terus menjalankan tanggungjawab sosial sebagai seorang selebriti.

“Alhamdulillah dua showcase lalu mendapat sambutan yang cukup baik daripada peminat, sekali gus membolehkan ramai rakan-rakan artis yang dapat kita bantu.

“Saya harap penganjuran kali ketiga ini turut mendapat perhatian daripada pihak-pihak tertentu terutamanya penaja untuk membantu kami merealisasikan persembahan amal ini.

“Kalau diikutkan, showcase ini sepatutnya berlangsung pada bulan Mac ini, namun disebabkan keadaan semasa pandemik, kami mengambil jalan selamat untuk menangguhkan pada Jun depan,” jelasnya kepada SinarPlus.

Showcase Amal Artis Lagenda 90-an 3.0 yang bakal berlangsung pada 4 Jun tahun hadapan depan di Bangi Resort Hotel itu akan menampilkan 10 artis popular era tersebut yang akan tampil menyanyikan lagu-lagu hits yang pernah menaikkan nama mereka dalam industri.

Bagaimanapun berbeza dengan penganjuran sebelumnya, showacase kali ini didedikasikan khas kepada pesakit-pesakit kanser.

Menurut Nizam, 54, hasil jualan meja yang diperolehi daripada persembahan tersebut akan disumbangkan kepada pesakit-pesakit kanser yang memerlukan bantuan kewangan.

“Kali ini sedikit istimewa kerana kami fokuskan sumbangan kepada pesakit kanser kerana memahami keadaan dan kesukaran mereka mencari sumber kewangan menampung kos perubatan yang sangat tinggi.

“Idea itu timbul selepas saya sendiri melalui pengalaman sama apabila isteri, disahkan mengidap kanser dan memerlukan belanja yang sangat besar untuk rawatan.

“Dalam masa sama, saya juga mahu memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya kita saling memberikan sokongan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Sokongan rakan artis

Dalam pada itu, Nizam juga meluahkan rasa syukur apabila rakan-rakan artis yang terbabit sentiasa memberikan kerjasama terbaik untuk menjayakan konsert amal tersebut.

“Seingat saya, daripada showcase pertama sehinggalah yang ketiga ini, hampir semua rakan-rakan artis yang saya pelawa untuk menyertai persembahan ini memberikan respon positif.

“Saya hanya membuat satu panggilan telefon dan mereka terus menyatakan persetujuan tanpa bertanya soal bayaran dan sebagainya,” ujarnya terharu.

Dalam perkembangan lain, bekas vokalis kumpulan Laksamana yang pernah popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta itu,  memaklumkan keadaan isterinya, Salwati Zulkifli, kini bertambah baik selepas menjalani pembedahan pada 9 Julai lalu.

“Alhamdulillah selepas menjalani enam sesi kimoterapi dan disusuli dengan pembedahan, keadaan isteri bertambah baik. Menurut doktor, sel kanselnya kini sudah hilang.

“Saya sangat-sangat bersyukur dan dalam masa sama berterima kasih kepada rakan-rakan dan orang ramai yang mendoakan kesihatan isteri. Saya percaya berkat doa itulah keadaan isteri bertambah baik,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Nizam Laksamana)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca