PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof membuat satu laporan polis selepas menerima mesej berbaur ugutan dan ancaman terhadap dirinya, isteri serta anak-anak menerusi sebuah akaun Instagram daripada individu tidak dikenali.

Menurut Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 36, dia nekad untuk membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur itu setelah pemilik akaun Instagram terbabit bertindak melampaui batas.

“Saya sedar sebagai selebriti memang ia adalah perkara biasa kalau kita dapat mesej-mesej yang menghentam kita, namun kali ini saya sudah tidak boleh bersabar apabila ia melibatkan ugutan terhadap isteri dan anak-anak saya.

“Kalau individu ini tidak puas hati dengan saya dia sepatutnya hanya berurusan dengan saya, jangan babitkan isteri dan anak-anak saya sekali.

“Benda ini yang buatkan saya rasa dia telah bertindak melampaui batas untuk saya berdiam diri.

“Saya tidak tahu agenda dia dan saya pun tidak tahu sama ada dia orang yang saya kenali atau tidak. Mesej tersebut dihantar ke akaun Instagram saya dan saya sedar perkara itu kira-kira pukul 10.30 malam semalam (kelmarin).

“Antara isi mesej tersebut ialah ‘ aku akan hancurkan kerjaya kau, untuk bagi kau malu. Jangan fikir anak bini kau akan selamat. Isteri kau, aku ikut hari-hari’.

“Dia sudah pun padamkan akaun Instagram dia, tapi jangan ingat kami takkan dapat dia sampai dapat. Sekarang dunia dah canggih, sekejap sahaja boleh dapat kenal pasti identiti dia,” katanya seperti yang dilaporkan Kopiplanet.com.

Dua peguam Syamsul iaitu Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhelmi Zulkifli daripada Tetuan Saiful, Roger & Co turut menemaninya ketika membuat laporan polis.

Tambah Syamsul, apa yang dibimbanginya, kereta yang dipandu isterinya pernah dihalang oleh individu tidak dikenali, sekaligus membuatkan dia bimbang tentang keselamatan isteri, Puteri Sarah Liyana dan dua anaknya, Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, setahun.

Iklan
KELUARGA SYAMSUL
KELUARGA SYAMSUL… Syamsul mengakui bimbang dengan keselematan isteri dan dua orang anaknya.

Katanya, jika sebelum ini dia tidak mengambil pusing terhadap sebarang ancaman dan kritikan yang dilemparkan kepadanya, namun apabila melibatkan keselamatan keluarganya dia terpaksa membuang topeng ‘Mr. Nice Guy’ yang selama ini disarungkannya.

“Saya dah nekad ‘no more Mr. Nice Guy’. Saya perlu pertahankan diri dan akan cari siapa yang membuat ugutan ini kepada saya. Kalau tak puas hati dengan saya, apa kata jumpa saya depan-depan.

Iklan

“Tak perlu libatkan anak dan isteri saya. Saya mati pun tak apa tapi jangan sesekali sentuh anak dan isteri saya. Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak kalau tiada bukti.

“Sebelum ini, saya pernah menerima mesej daripada akaun yang sama pada awal tahun ini namun baharu kali ini saya menyedari mesej itu ada berbaur ugutan dan ancaman. Saya ada balas mesej tersebut namun selepas itu, akaun itu sudah dinyahaktifkan (deactived),” tegasnya.

Sumber : Kopiplanet.com