SELEPAS hampir lima tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 48, atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Datuk Ariffin berkongsi yang dirinya bakal melangsungkan perkahwinan tahun ini.

Tanpa mendedahkan tarikh hari bahagianya itu beliau memberitahu, bersedia berkongsi dengan peminat apabila tiba waktunya nanti.

“Benda baik buat apa nak sorok. Doakan yang baik-baik. Benda baik tak perlu dilambatkan dan perlu dipercepatkan.

“Bila masa sesuai saya akan beritahu. Tunggulah nanti. Anak-anak okay. Alhamdulillah, mereka berlapang dada menerima dengan hati terbuka,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) dengan Yayasan Sofa Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Menurut Nora, selepas melalui pelbagai fasa ujian dalam kehidupannya, mereka sekeluarga kini mahu mengecapi bahagia dan mahukan kehidupan sebuah keluarga yang lengkap.

Bercerita mengenai bakal suaminya, Nora berkata, beliau mengenali lelaki itu ketika pandemik Covid-19. Jelasnya, lelaki yang telah berjaya mencuri hatinya itu juga bukan orang politik dan kemungkinan seorang pendidik.

“Kita pun bukan budak-budak muda, banyak benda perlu dipertimbangkan dan lebih memikirkan masa depan,” katanya.

Untuk rekod, Nora kematian suaminya komposer Johan Nawawi pada tahun 2017, akibat serangan jantung.

Iklan

Selain itu, Nora yang kini kembali aktif menyanyi berkongsi yang beliau akan mengeluarkan lagu baharu tahun depan.

“Konsep lagu masih dalam perbincangan. Kita tak mahu terburu-buru, lagi pun kita baru nak recover balik.

Iklan

“Tapi ia lebih kepada tema kebaikan. Lagu berunsur dakwah itu tak semestinya lagu ketuhanan. Saya pun dah penat nak sedih-sedih,” katanya.

(TEKS & FOTO: Syamilah Zulkifli)