PENYANYI Nourul Wahab Depp mendedahkan bakal memulakan kehidupan baharu bersama keluarga apabila mengambil keputusan untuk berhijrah ke Bali, Indonesia, pada pertengahan Julai depan.

Pendedahan tersebut sekali gus menolak spekulasi yang mengatakan penyanyi Kerana Terluka itu bakal berhijrah ke negara asal suaminya, Perancis.

Menurut Nourul, 44, penghijrahan tersebut awalnya dirancang pada tahun lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan seketika.

“Penghijrahan ini untuk pendidikan dan masa depan anak-anak di mana kami berhasrat untuk masukkan mereka ke sebuah sekolah di sana yang sangat bagus dan berkonsepkan kemahiran.

“Selain itu memang impian suami untuk berhijrah ke Bali kerana sebelum ini dia pernah menetap dua tahun di sana,” katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam program Punchline DAC baru-baru ini.

Meskipun bakal menetap di sana dalam tempoh yang lama, Nourul berkata, dia tidak akan meninggalkan kerjaya seni di tanah air dan akan sentiasa berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan.

“Saya tetap akan balik ke Kuala Lumpur kerana bisnes ada sini. Malah kalau undangan persembahan pun, saya akan berulang-alik. Bukan jauh pun.

Iklan

“Insya-ALLAH di mana pun saya berada, saya masih dan tetap orang yang sama. Terima kasih untuk semua yang mendoakan saya dan keluarga.

“Sedih juga bila ada yang beremosi hantar mesej bilat ahu saya nak berhijrah. Jangan bimbang, tiada apa pun yang berubah. Peminat dan pengikut di media sosial saya tetap di hati. Ada umur panjang, kita tetap berjumpa,” ujarnya.

Iklan

Nourul dan suami, Eric Daniel Depp berkahwin pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 8,  Raphael, 6, dan Isabella 2.

Sementera menerusi perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 23.