FILEM Olympic Dream yang mengangkat tema sukan badminton bakal menemui penonton di Pawagam Rumah Anda, Astro First (saluran 480) mulai 23 September lalu.

Naskhah penuh inspirasi terbitan Full Billion Entertainment itu menyaksikan gandingan pelakon lama dan baharu seperti Maya Karin, Jordan Voon, Annabelle Tan dan lain lain.

Menariknya, ia turut menyaksikan penampilan istimewa legenda badminton negara seperti Datuk Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit, Adelle Ng, Janice Woon Khe Wei dan Vivian Hoo Kah Mun.

Mereka bukan sahaja mempamerkan aksi hebat bermain badminton tetapi juga menyerlah dalam lakonan yang ditunjukkan.

Selain tumpuan kepada sukan badminton, filem arahan Don Hoe itu dipadatkan lagi dengan konflik dan babak dramatik yang mengajak penonton menghayati perjuangan seseorang dalam usaha mencapai impian mereka.

Iklan

Olympic Dream mengisahkan tentang kecekalan seorang anak muda, Anna Wong yang menyimpan impian sejak kecil untuk menjadi pemain badminton kebangsaan.

Walaupun mengalami masalah kesihatan, ia tidak mematahkan impiannya. Apabila meningkat dewasa, Anna berjaya menjadi salah seorang pemain terbaik kebangsaan. Namun dia berdepan pelbagai cabaran untuk membawa harapan rakyat Malaysia melihat aksinya di temasya sukan Olimpik.

Iklan

Olympic Dream menerima pelbagai pengiktirafan daripada festival filem antarabangsa termasuklah Anugerah Filem Asia Terbaik Festival Filem New York City IO 2021, Anugerah Khas Juri Festival Filem Chambal International 2019 dan Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem & TV Ramsgate yang dimenangi Maya Karin.