MENGAKUI menimba pengalaman luar biasa menerusi penyertaannya dalam program Big Stage 2020 (BS2020), Fadh Majid tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Mula merencana kerjaya seninya dengan pelbagai perancangan, penyanyi yang bernaung di bawah label Todak Music itu kembali meneruskan promosi single pertamanya, Bukan Takdirku yang dilancarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.

“Sebenarnya single pertama saya baru sahaja dilancarkan ketika PKP baru-baru ini dan selepas itu saya terpilih menyertai BS2020.

“Insya-ALLAH selepas ini saya akan kembali fokus untuk mempromosikan single tersebut, termasuk perancangan untuk menghasilkan muzik video untuk lagu yang dicipta saya sendiri itu,” ujarnya.

Biarpun hanya menduduki tempat kelima pada pentas akhir program BS2020 yang melabuhkan tirai pada awal Oktober lalu, Fadh atau nama lengkapnya Muhd Fadhlullah Abd Majid, 27, mengakui pengalaman yang ditimba sepanjang program tersebut berlangsung menjadi bekal berguna buatnya terus melangkah ke depan.

Malah, penyanyi kelahiran Melaka itu juga berkata, dia semakin jelas dengan hala tujunya dalam bidang muzik dan optimis mengangkat genre muzik pilihannya iaitu R&B dan ballad.

“Sepanjang menyertai BS2020, saya banyak menimba ilmu baharu dan belajar tentang banyak perkara dalam dunia nyanyian.

“Saya mula faham menjadi penyanyi yang bagus bukan semata-mata hanya pada nyanyian, tetapi merangkumi pelbagai aspek termasuk attitude dan disiplin diri.

“Biarpun berada di tangga kelima, jujurnya saya sedikitpun tidak kecewa kerana bagi saya ilmu yang saya dapat dalam program itu nilainya lebih daripada itu,” kata Fadh.

Dalam pada itu, Fadh juga menzahirkan rasa terima kasihnya buat penyanyi Shiha Zikir yang banyak membantunya dalam selok-belok industri seni.

“Kami bernaung di bawah label yang sama iaitu Todak Music sekali gus memberi ruang kepada saya untuk belajar macam-macam ilmu daripada dia.

“Shiha juga seorang yang suka membantu dan sering berkongsi pengalamannya untuk saya jadikan panduan.

Iklan

“Apa pun, hubungan kami tidak lebih sekadar rakan seperjuangan dan saya juga menganggapnya seperti kakak yang sering mengambil berat,” akui Fadh.

Mengulas mengenai persepsi peminat yang lebih melihat dirinya kepada imej Islamik berdasarkan latar belakangnya sebelum ini yang pernah bergelar Juara Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan, Fadh tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang membataskan dirinya dalam berkarya.

“Kalau orang melihat saya dengan pandangan begitu, saya terima sahaja dengan dengan besar hati, walaupun hakikatnya saya juga nakal seperti orang lain.

“Bagi saya kata-kata itu adalah doa dan bila orang mendoakan kita ke arah kebaikan, ia tentunya sesuatu yang sangat positif. Kita aminkan saja.

Iklan

“Pernah ada yang mempersoalkan, kenapa saya yang pernah menyertai tilawah ini masuk dalam bidang nyanyian.

“Jawapan saya mudah saja, selagi benda itu tidak mendatangkan mudarat pada diri saya atau orang lain, saya OK saja,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Fadh Majid)