Orang sekarang tak nak lagi tengok program skema macam dulu - Rosyam Nor

ROSYAM NOR
ROSYAM NOR
A
A
A

MESKIPUN usianya sudah menginjak 54 tahun, pelakon Datuk Rosyam Nor bersyukur masih lagi mampu bertahan dalam industri, sekali gus menyumbang sesuatu buat peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya sebelum ini.

Malah pada usia itu juga, Rosyam turut bergelar salah seorang Rakan TV9, selain Alif Satar, Naim Daniel, Amyra Rosli dan Zharif Zhafri bersempena pelancaran konsep baharu saluran tersebut.

“Saya teruja pada usia 54 tahun ini masih mendapat tawaran untuk menjadi salah seorang Rakan TV9 bersama rakan-rakan artis muda sempena wajah baharu TV9.

“Saya menerima pelawaan ini kerana percaya dalam kehidupan itu, ada permulaannya iaitu ada golongan berumur, veteran atau senior sebelum golongan muda.

“Jadi saya harapkan penampilan bersama rakan artis muda ini dapat menggamit penonton-penonton di luar sana untuk melihat pelbagai paparan dan kandungan menarik di TV9 yang kini berkonsepkan lebih santai,” ujarnya kepada SinarPlus.

Tidak hanya itu, Rosyam bakal mengendalikan sebuah program bual bicara baharu, Sembang Viral. Kapsul berdurasi 10 minit itu dihoskan secara bergilir oleh Rosyam dan Ahmad Fedtri Yahya, pada setiap hari, jam 7.30 malam.

“Saya sebagai hos akan membincangkan pelbagai isu berkaitan kehidupan dan agama yang dikongsi netizen dalam media sosial daripada perspektif Islam secara santai bersama ahli panel jemputan.

“Program ini sangat menarik kerana selama ini banyak perkara viral atau tular tidak mendapat jawapan atau penjelasan sewajarnya daripada mereka yang lebih arif. Jadi kita cuba menjawab permasalahan itu dan melihat dari segi hukum hakam dan kehidupan.

“Biarpun durasinya hanya selama 10 minit, namun isinya padu dan padat dengan info serta manfaat,” jelasnya yang sebelum ni pernah mengacarakan program keagamaan, Da'i.

Dalam pada itu Rosyam mengakui teruja dengan konsep baharu TV9 yang kini lebih santai dengan kempen Janji Happy.

“Tahniah kepada TV9 yang tampil wajah dan konsep baharu kerana inilah penonton hari ini mahukan. Orang sekarang tak mahu lagi tengok program skema macam dulu.

“Bukan orang muda sahaja, tetapi orang dah berumur pun menerima perubahan dan cara kehidupan baharu. Pandemik itu sendiri banyak merubah cara kehidupan kita hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosyam yang juga aktif sebagai penerbit drama turut mengulas isu berkenaan rakan penggiat seni yang enggan mengambil vaksin, namun mahu kembali bekerja dan menjalani penggambaran.

“Kita semua berdepan dengan masalah kehidupan dan ekonomi yang serius sejak pandemik. Jadi apabila ada peluang untuk memperbaiki semula keadaan itu, saya berharap semua orang patuhlah kerana kita harus bersama-sama.

“Kalau seseorang itu tidak ada vaksin atau anti vaksin, saya harap mereka perlu tarik diri daripada industri dan jangan menyusahkan orang lain.

“Kita tak marah dia pun kalau dia tak nak vaksin, tapi jangan melibatkan orang lain yang ingin bekerja,” tegas Rosyam.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca