SETELAH berjaya menarik perhatian ramai menerusi penghasilan drama Setelah Ku Dimiliki, pengarah Osman Ali, kembali dengan drama adaptasi di slot Akasia TV3, Masih Ada Rindu.

Drama 16 episod terbitan Nuansa Sdn. Bhd. itu sudah menemui penonton sejak 2 Jun lalu, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Masih Ada Rindu menyaksikan gandingan Farid Kamil dan Mimi Lana sebagai pelakon utama.

Berkongsi mengenai penghasilan drama itu, Osman berkata, dia berdepan cabaran besar termasuk kekangan masa dan pelakon akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, penggambaran pada awalnya dirancang sekitar Selangor diubah ke Terengganu.

“Kami menjalani penggambaran pada awal April di mana pada awalnya dirancang berlangsung lebih awal di sekitar Selangor.

“Namun peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan kawalan pergerakan menyebabkan kami terpaksa ubah lokasi ke Terengganu kerana ketika itu negeri berkenaan dalam tempoh pergerakan pemulihan.

“Bagaimanapun timbul masalah baharu apabila ramai pelakon tidak dapat turut serta ke sana disebabkan kekangan jadual dan tidak selesa bekerja di luar kawasan.

Iklan

“Jadi kami terpaksa memilih beberapa pelakon yang memang tinggal di Terengganu menjayakan watak pembantu,” ujarnya ketika ditemui pada sesi sidang media Masih Ada Cinta secara maya baru-baru ini.

Masih Ada Rindu menggadingkan dua pelakon era berbeza, Farid Kamil dan Mimi Lana.

Osman berkata, walaupun banyak perubahan, namun dia bertuah kerana mendapat pelakon yang komited.

“Mereka memberi hasil lakonan yang diharapkan dan komitmen tinggi terhadap watak yang mereka jayakan.

Iklan

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan berharap drama ini akan diterima baik, apatah lagi novel karya Mimie Afinie ini adalah salah satu novel kegemaran saya dan ia adalah sebuah karya yang bagus,” katanya.

Masih Ada Rindu mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang disatukan tetapi masih dibayangi dengan hubungan yang lepas, apatah lagi isterinya hidup dalam memori indah bersama arwah suaminya.