NAMA OTwo mungkin sedikit asing dalam kalangan peminat muzik tanah air jika diukur dari sudut populariti, namun kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1997 itu mempunyai pengikut yang tersendiri.

Melihat kepada keterbukaan peminat terhadap kepelbagaian genre muzik masa kini juga membuatkan OTwo yang dianggotai oleh Izan selaku vokalis, Anep (dram) dan Alan (gitar) optimis untuk terus tampil dengan karya berkualiti agar lagu-lagu ciptaan dan nyanyian mereka diterima ramai.

Terbaru kumpulan yang bernaung di bawah label Asia Empire Records Malaysia itu tampil dengan single Hitam yang dihasilkan sepenuhnya oleh OTwo sendiri.

Single tersebut mengisahkan tentang perjalanan kehidupan seseorang yang menanggung kesan perbuatan insan dipercayai berhati hitam tanpa disedari atau rasa bersalah oleh diri serta orang sekeliling.

Menurur Anep, lagu Hitam mempunyai keunikan tersendiri sehingga beberapa kali diangkat sebagai lagu runut bunyi untuk telefilem.

“Lagu ini mempunyai kekuatan dari segi penulisan lirik serta susunan lagu yang unik dan kualiti bunyian yang sangat tinggi. Dari segi susunan strings juga memainkan peranan sangat penting untuk single ini.

“Lagu ini mendapat sambutan luar biasa di Indonesia kerana ini adalah single pertama OTwo hasilkan secara rock ballad dan eksklusif. Sebelum ini lagu-lagu OTwo juga pernah diputarkan di Indonesia tetapi tidak menjadi tular seperti lagu Hitam.

“Hampir 40 buah radio mempromosikan lagu ini secara serentak di Indonesia ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa bagi kami. Dan kami dapat peluang yang sangat besar untuk membawa nama Malaysia ke negara seberang,” ujarnya yang pernah tampil dengan lagu Khayalan Maya.

Jelajah Indonesia

Single Hitam dilancarkan di Indonesia pada 1 Mac lalu, sekali gus membuka ruang kepada OTwo ditemu bual secara eksklusif di beberapa akhbar serta stesen radio di Indonesia.

Melihat kepada perkembangan tersebut, Izan berkata, OTwo kini mula membuat perancangan untuk membuat siri jelajah di Indonesia setelah kes Covid-19 kembali melandai.

Iklan

“Harapan OTwo adalah ingin bersaing secara sihat dalam industri muzik tanah air serta membawa nama Malaysia ke negara luar.

“Menerusi pengalaman yang ada, kami yakin mampu mewarnai industri muzik serta mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Alan bersyukur apabila single Hitam mula diterima ramai dan meraih 150,000 tontonan hanya dalam tempoh dua minggu dilancarkan di saluran YouTube rasmi Asia Empire Records pada Januari lalu. Kini jumlah tontonan video mereka terus bertambah dari semasa ke semasa.

Iklan

“Semoga OTwo akan terus diberi ruang berkarya serta sokongan untuk kami bersama membantu memeriahkan serta mewarnai industri muzik tanah air. Terima kasih kerana menyokong pergerakan muzik OTwo,” katanya.

OTwo sebelum ini pernah tampil dengan dua album iaitu Radio Tanah Melayu yang pernah tercalon dalam Top 5 di Anugerah Industri Muzik ke­13 dan Evolusi pada 2008.

(FOTO: ASIA EMPIRE RECORDS MALAYSIA)