MENCABAR dan penuh dugaan. Itu yang dapat disimpulkan oleh duo The Truth yang dianggotai oleh Naufal Isa dan Irwan Fariz ketika berkongsi mengenai proses penerbitan single Infiniti yang baru sahaja dilancarkan di semua platform digital.

Menurut Naufal, ketika proses rakaman Infiniti memasuki fasa akhir, mereka dikejutkan dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) atau ‘lockdown’.

Katanya, mereka lega apabila dapat menyiapkan lagu Infiniti beberapa hari sebelum ‘lockdown’ mula berkuatkuasa.

Bagaimanapun mereka akur apabila rancangan untuk melakukan penggambaran muzik video (MV) lagu itu terpaksa ditangguh buat seketika.

“Walaupun pada awalnya pihak pengurusan mahu melancarkan lagu serentak dengan MV, namun dalam situasi negara yang masih bergelut menangani pandemik ini, adalah lebih wajar untuk kami mendahulukan urusan-urusan yang lebih kritikal jika ingin keluar dari rumah.

“Oleh itu pihak pengurusan merangka beberapa perancangan kontigensi termasuk menangguhkan pelancaran muzik video ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak.

“Sebagai gantinya, kami persembahkan sebuah video animasi ringkas ciptaan Azeem Razali yang memaparkan The Truth menyampaikan maksud di sebalik lagu itu,” ujarnya.

Infiniti ciptaan komposer Akmal Mustafa, merupakan karya yang mengetengahkan konsep hubungan abadi sesama manusia.

Kata Akmal, setiap orang mungkin memiliki kawan yang sentiasa mengingatkan sahabatnya tentang akhirat. Namun kewujudan mereka dilihat semakin tandus di akhir zaman ini.

“Infiniti melambangkan satu konsep yang tiada had. Dalam konteks lagu ini, ia merujuk kepada hubungan persahabatan yang berkekalan hingga di akhirat yang kekal abadi.

“Sebagai muslim kita mempercayai kewujudan akhirat yang kekal abadi. Begitu jugalah hendaknya persahabatan yang terjalin antara orang beriman, didasari matlamat untuk kekal hingga ke syurga,” katanya.

Iklan

Menariknya dalam single Infiniti, The Truth mempersembahkan karya mereka di dalam mood yang lebih bertenaga berbanding lagu-lagu mereka sebelum ini.

Masih memilih pop rock sebagai genre utama, Infiniti menyerlahkan lagi vokal duo The Truth agar kelihatan lebih versatil.

Pemilihan kunci vokal yang lebih tinggi, sesuai dengan mood lagu yang energetik, menjadikan Infiniti satu cabaran hebat bagi Irwan dan juga Naufal The Truth.

“Kami harap lagu Infiniti dapat diterima baik masyarakat bahkan menjadi lagu anthem sebuah persahabatan yang didasari keimanan,” jelasnya.

Iklan

Infiniti versi animasi terbitan Tarbiah Sentap Records kini sedia untuk ditonton di saluran rasmi YouTube Tarbiah Sentap.

Single terbaharu itu juga boleh diperdengarkan di semua platform penstriman digital seperti Joox, Spotify dan Apple Music seluruh dunia.