PENULARAN pandemik Covid-19 di Malaysia sejak setahun lalu seperti diketahui memberi kesan yang besar dalam masyarakat.

Bahkan dalam industri seni sendiri, banyak penggambaran tergendala dan terganggu dengan situasi tidak terjangka akibat virus tersebut.

Begitulah yang dilalui oleh team produksi Hatimu Sedingin Salju ketika penggambaran drama ini yang berlangsung selama tiga bulan pada akhir tahun lalu.

Menurut pengarah, Bahri Uma, drama bersiri 28 episod itu mengambil masa panjang untuk disiapkan ekoran beberapa kali tergendala akibat perintah kawalan pergerakan.

“Disebabkan situasi tak menentu, ada ketikanya kami terpaksa berhentikan penggambaran, ada juga terpaksa ubah lokasi saat akhir.

“Pernah suatu hari kami sedang menjalani penggambaran di Genting Highland, petang hari sama dapat tahu kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, bergegas kami turun.

“Bagaimanapun saya bersyukur mendapat team yang komited dengan kerja mereka. Oleh itu kami pentingkan untuk ada plan B, C atau D, sekiranya plan A tidak menjadi,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama berkenaan yang diadakan secara maya pada Khamis.

Bahri memberi penerangan kepada Aprena dan Bella (kiri).

Drama terbitan Orangetree Production Sdn. Bhd akan mengisi slot Akasia bermula 24 Jun, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada jam 8 malam pada hari yang sama selepas siaran di TV3.

Iklan

Naskhah hasil nukilan skrip oleh panel Orangetree menggandingkan pelakon-pelakon popular iaitu Hisyam Hamid (Arman), Aprena Manrose (Rania), Hafeez Mikail (Nabil), Bella Dowanna (Shena), dan Scha Elinnea (Melissa).

Hatimu Sedingin Salju mengisahkan Datin Mimi yang resah melihat anaknya, Arman tidak mengendahkan soal perkahwinan walaupun umurnya hampir 33 tahun.

Hatimu Sedingin Salju menggandingkan Hisyam dan Aprena buat pertama kali.

Apabila Datin Mimi terjumpa diari Arman dan juga beberapa gambar seorang gadis yang disimpan rapi, Datin Mimi mula mengupah Nabil, adik Arman sendiri untuk menyiasat siapakah Rania dan apakah statusnya sekarang.

Iklan

Pada masa yang sama, Rania baru dikecewakan oleh Haikal, tunangnya kerana tidak hadir ke majlis pernikahan mereka.

Namun, situasi bakal menjadi lebih rumit kerana Nabil pula mula rasakan ada sesuatu yang istimewa pada Rania yang tidak ada pada gadis-gadis yang pernah dia jumpa.