Panggung Tok Ram cari pelapis berbakat
NAMA Datuk Ramli MS bukanlah asing dalam industri seni tanah air, malah cukup dikenali sebagai maestro muzik berkaliber.
Ramli atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ram kini tampil dengan sebuah program untuk mencungkil bakat baharu serta mencipta personaliti anak seni.
Program Panggung Tok Ram yang ditaja oleh jenama susu Farm Fresh itu juga akan bertujuan untuk memebimbing bakat muda dengan pelbagai ilmu, sikap dan disiplin sebagai anak seni.
“Saya nak mencari bakat baharu dan akan membina jati diri individu itu menjadi anak seni berkaliber.
“Dengan pengalaman saya selama 47 tahun di dalam industri, saya akan bantu menggilap apa yang ada dalam diri mereka.
“Selain bakat dan teknikal yang boleh diajar, jati diri dan tatasusila juga penting dalam diri seseorang anak seni,” katanya.
Tambah Ramli, inisiatif ini diambil kerana dia ingin mencipta masa depan yang lebih baik buat anak-anak seni tanah air terutamanya barisan pelapis.
“Sekarang, ramai artis yang ‘langgar’ saja benda-benda ini (jati diri dan tatasusila). Saya dah lihat perkara ini selama berdekad-dekad dan ia nampaknya mula menjadi sesuatu yang normal.
“Kalau dibandingkan dengan zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, disiplin mereka lebih padu terutamanya dari segi pengurusan masa.
“Inisiatif ini adalah untuk masa depan industri kita. Selari dengan peredaran zaman, program ini akan diterbitkan dalam pentas kami sendiri berteraskan digital dan bukan untuk siaran televisyen,” katanya.
Ramli juga menegaskan Panggung Tok Ram bukanlah program realiti TV yang hanya memakan masa selama 10 minggu, sebaliknya, program berterusan.
“Ia adalah program berterusan dan minimum, akan memakan masa selama dua tahun.
“Dalam tempoh itu, kita akan dapat lihat dan kenal pasti sikap peserta dan cabang seni mana yang lebih sesuai,” katanya.
Program Panggung Tok Ram terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 13 hingga 18 tahun dengan menghantar demo nyanyian mereka melalui aplikasi whatsapp ke nombor 013- 6268839.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang