Paparan jujur Prebet Sapu, refleks pada masyarakat

A
A
A

SELEPAS berdepan pelbagai kekangan dan penangguhan, akhirnya filem Prebet Sapu arahan Muzammer Rahman tampil menemui penonton di pawagam bermula 16 Disember lalu.

Filem yang berkonsepkan hitam putih itu hadir dengan cukup sederhana, namun berjaya memberikan sebuah harapan baharu buat penonton filem tanah air yang sudah lama dahagakan naskhah 'berjiwa' seperti ini.

Prebet Sapu mengisahkan tentang Aman (Amerul Affendi) yang kembali ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu selepas kematian bapanya. Dia melakukan perkhidmatan e-hailing secara haram dan berdepan pelbagai cabaran hidup di kota raya yang penuh dengan ketidakadilan sosial.

Aman kemudiannya bertemu dengan seorang wanita Cina bernama Bella (Lim Mei Fen) yang turut bergelut konfliknya sendiri.

Prebet Sapu hanya dihasilkan dengan bajet pembikinan sebanyak RM500,000, namun nilai yang dibawa oleh filem ini ternyata lebih daripada itu.

Naskhah ini mengetengahkan realiti hidup rakyat marhaen di tengah kota raya Kuala Lumpur dengan paparan cukup jujur sehingga ia terasa dekat dengan penonton.

Sederetan kritikan sosial berkaitan isu semasa yang melingkari kehidupan masyarakat bawahan seperti tangga gaji, harga rumah, kemiskinan bandar, pendatang asing sehinggalah kepada sentimen Melalu tolong Melayu dan Cina balik Tiongsan.

Malah banyak dialog yang dituturkan dalam filem ini berjaya mengetuk hati dan rasa penonton untuk menyelak kebenaran serta sisi gelap Kuala Lumpur yang sering digambarkan dengan penuh gemerlapan pada pandangan ramai.

Paling penting mesej-mesej yang dibawa itu sampai tepat kepada penonton dan ada ketikanya seperti melihat diri sendiri dalam beberapa karakter filem ini.

Satu refleksi penting kepada semua untuk menilai semula kehidupan yang dilalui pada sebelumnya, hari ini dan akan datang.

Prebet Sapu tidak menawarkan wajah-wajah komersial sebagai tarikan utama, sebaliknya meletakkan bintang yang berfungsi baik menggerakkan karakter dan jalan cerita dengan sempurna.

Gandingan Amerul Affendi dan Lim Mei Fen terlihat begitu cemerlang. Saling memberi dan memahami peranan masing-masing dalam setiap babak yang dijayakan. Ada ketika kita terlupa mereka sedang berlakon, sebaliknya terasa seperti realiti sebenar dua insan sedang berkongsi cerita tentang perjuangan mereka bergelut dalam hidup.

Secara keseluruhannya, Prebet Sapu adalah sebuah filem yang harus mendapat sokongan sepenuhnya daripada peminat filem tanah air. Filem wajib tonton 2021.

Karya ini juga dipilih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mewakli Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscars) 2021 yang akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun hadapan bagi kategori Best International Feature.

Prebet Sapu

Pengarah: Muzammer Rahman

Pelakon: Amerul Affendi, Lim Mei Fen, Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa

Produksi: Le Mediator Studio, Kristal Azmir, Konda Kondi Studio

Bahasa: Melayu

Klasifikasi: P13

Genre: Drama

Durasi: 1 jam 25 minit

Tarikh Tayangan: 16 Disember 2021

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca