KEBENARAN membuka semula pawagam di seluruh negara bermula Khamis (esok), tentunya menjadi berita yang cukup ditunggu ramai.

Bukan sahaja kepada pengusaha panggung wayang, tetapi juga penonton yang rindu untuk kembali menonton wayang di pawagam.

Bagaimanapun kebenaran tersebut tertakhluk pada operasi pawagam dengan kapasiti 50 peratus (%) di ruang dewan tayangan wayang dan hanya untuk penonton lengkap vaksin Covid-19.

Ketetapan itu merupakan sebahagian daripada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.

“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Selain pawagam, kelonggaran tersebut turut melibatkan industri seni kreatif lain termasuk kebenaran menjalani penggambaran di dalam dan di luar studio, bagi individu yang telah lengkap divaksin.

Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis juga dibenarkan.

Iklan

Tidak ketinggalan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan, persembahan di lounge hotel, indoor busking turut mendapat kelonggaran sama.

Perkembangan ini tentunya memberi kelegaan kepada seluruh penggiat seni untuk merangsang kembali kelangsungan industri kreatif tanah air.