BAGI peminat setia drama tempatan, wajah aktor ini barang kali bukan asing lagi.

Biarpun sudah jarang muncul di kaca televisyen, lakonan Zamshuri Ramli dalam drama bersiri Skuad Elite pada 2003 masih diingati ramai.

Bukan hanya Skuad Elite, aktor yang kini berusia 51 tahun itu pernah muncul menerusi filem Gerak Khas The Movie 3, Kepulangan, Misi 1511 dan Don (filem Bollywood).

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Zamshuri atau nama sebenarnya Nor Zamshuri Ramli, berkongsi khabar gembira mengenai pencapaiannya yang  menerima anugerah dari Asiapez sebagai Top Motivator Award dan Top Performance untuk tahun 2021.

Dia yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) turut bersyukur apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Korporat untuk Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).

Persatuan yang ditubuhkan pada 2013 ini bertujuan membantu permasalahan hutang dan liabiliti pengguna yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Saya amat berterima kasih kepada Presiden 4PM, Rosland Mohd Arif kerana memberikan kepercayaan kepada saya menggalas tanggungjawab ini.

“Sudah pasti saya akan menggunakan sedikit sebanyak pengalaman saya yang ada untuk membantu 4PM.

“NGO yang berpusat di Ampang ini adalah satu-satunya NGO di Malaysia yang menjadi pakar mediasi bagi  mengatasi pelbagai masalah perbankan, pakar dalam masalah urusan lelongan, kebangkrapan, penstrukturan dan penjadualan semula hutang-hutang,” jelasnya.

Tambahnya, dalam masa 9 tahun, NGO 4PM telah menjadi rakan Jabatan Insolvensi Malaysia, Mahkamah Timbang Tara Malaysia dan juga menjadi rakan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia.

Iklan

“Alhamdulillah pelantikan ini memberikan sedikit peluang kepada saya untuk membawa NGO 4PM lebih menyeluruh ke seluruh Malaysia selepas 9 tahun.

“NGO 4PM satu-satunya NGO dalam negara kita yang aktif dan beri tumpuan sepenuhnya pada  permasalahan hutang piutang yang dialami oleh masyarakat dan menjadi satu tempat hentian (one stop centre) untuk permasalahan perbankan, kredit sivil dan permasalahan konsumer,” ujarnya yang mengalu-alukan wakil- wakil dari setiap negeri.

Dalam pada itu, ditanya penglibatannya dalam dunia lakonan, Zamshuri mengakui teringin untuk melakukan ‘comeback’, bagaimanapun terpaksa meletakkan kerjaya seni ditempat kedua.

Iklan

“Ketika awal pembabitan saya dalam industri seni, memang banyak tawaran yang datang. Bagaimanapun disebabkan beberapa komitmen, saya pernah memperlahankan kerjaya lakonan selama dua tahun.

“Selain aktif berlakon, saya juga turut aktif sebagai penceramah motivasi bebas. Saya terpaksa fokus pada perkara yang lebih penting dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya kedua.

“Bagaimanapun saya macam nak buat ‘comeback’ kerana rasa rindu dengan semua rakan-rakan media dan artis,” katanya.