PELAKON veteran yang popular sekitar era 1980an, Sharifah Aminah Syed Abdullah meninggal dunia di Hospital Kajang, pada awal pagi Isnin.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun sekitar jam 6.40 pagi tadi di sisi anaknya, selepas berada dalam keadaan separuh koma sejak tiga tahun lalu.

Menurut anak sulung Allahyarham, Wan Monaliza Jamali, sebagaimana dilaporkan sebuah portal, ibunya mengalami sesak nafas selepas waktu Maghrib pada Ahad.

“Saya menghubungi hospital apabila arwah ibu mula sesak nafas. Apabila arwah terbaring dalam keadaan separuh koma, tidak dapat dipastikan apakah jangkitan yang berlaku.

“Namun, ALLAH lebih menyayanginya. Saya berada di sisinya dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, pagi ini. Saya dapat tatap wajah arwah buat kali terakhir, sebelum tutup mata,” ujarnya.

Iklan

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah membintangi filem Mama Oh Mama, Esok Untuk Siapa dan lain-lain.

Terdahulu Sharifah Aminah mengalami pendarahan otak serangan angin ahmar selepas rebah di sebuah restoran pada September 2018.

Iklan

Allahyarham meninggalkan dua anak dan tiga cucu.