DUA nama besar ini tidak perlu lagi diperkenalkan kerana kredibiliti mereka sebagai penghibur lebih-lebih lagi sebagai penyanyi rap sudah diketahui umum.

Noki dan juga MK merupakan ahli kumpulan K-Clique yang mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik tanah air.

Kedua-duanya sentiasa aktif menghasilkan lagu-lagu terbaharu dan masih menerima banyak permintaan persembahan secara maya.

Noki yang juga juara Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang lalu, dan MK penyanyi rapper kegilaan remaja telah bergabung menghasilkan lagu baharu kolaboratif mereka berdua yang bertajuk Payung Pelangi. Menurut Noki, lagu itu merupakan hasil kerjasama mereka berdua.

Katanya, idea lagu itu tercetus setelah mereka mendapat tawaran untuk berlakon bersama dan dalam kesempatan itu mereka merancang melancarkan sebuah lagu nyanyian mereka berdua.

“Saya agak gementar kerana ini single pertama saya. Lagu ini menceritakan tentang usaha keras.

“Sebelum kita mendapat sesuatu kejayaan kita perlu berusaha keras dan jangan berputus asa. Pelangi itu hanya perumpamaan di mana pelangi tak akan muncul kalau tidak hujan.

Iklan

“Jadinya, kesusahan pada permulaan pasti ada, tapi dengan usaha keras dan izin-NYA kejayaan pasti akan datang.

Iklan

“Saya harap lagu dan lirik ini mampu memberikan semangat kepada semua pendengar. Terus menyokong kami,” katanya.

Lagu Payung Pelangi itu sudah boleh didengari di semua pelantar digital dan klip videonya boleh ditonton di saluran YouTube K-Clique.