DUNIA komedi tanah air dilihat sering didominasi oleh barisan pelawak lelaki, sama ada untuk persembahan pentas mahu pun di kaca TV.

Bukan tidak ada pelawak wanita yang berbakat, tetapi tidak ramai di antara mereka yang tampil mengetengahkan diri menyahut cabaran, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa.

Mengakui tidak mudah untuk menempatkan diri, pelawak Filzah Azmi, 31, bagaimanapun melihat ia sebagai satu cabaran untuk pelawak wanita sepertinya mencari peluang terbaik untuk turut sama mewarnai dunia komedi tanah air.

Filzah sebelum ini pernah menganggotai kumpulan lawak Awok dan menyertai pelbagai program realiti komedi seperti Bintang Mencari Bintang, School of Lawak, Maharaja Lawak, selain bergelar juara Miss Lawak pada tahun lalu.

Selebriti kelahiran Sarawak itu juga sering beraksi di sebuah kelab komedi, The Joke Factory untuk membuat persembahan komedi secara live di sana.

Bicara Seni pada minggu ni berkongsi pandangan dan pengalaman Filzah sepanjang lebih enam tahun bergiat aktif dalam bidang komedi.

SINAR PLUS: Apa yang mendorong anda menceburi bidang komedi dan menjadikan ia sebagai kerjaya penuh masa?
FILZAH AZMI: Pada awalnya saya hanya menceburi bidang komedi ini untuk suka-suka kerana personaliti saya memang suka menghiburkan orang.

Bagaimanpun selepas bertemu dengan ramai senior dalam bidang komedi seperti Sabri Yunus, Raja Azura, Afdlin Shauki, Jihan Muse dan lain-lain. Mereka banyak mendorong saya untuk lebih serius ketengahkan bakat, sekali gus mengisi ruang-ruang kosong yang sepatutnya diisi oleh pelawak wanita dalam bidang ini.

Alhamdulillah mereka juga banyak kongsi ilmu dan pengalaman, selain mengajar saja untuk cekal berdepan persepsi stereotaip tentang pelawak wanita.

Apakah cabaran utama sebagai pelawak wanita?
Cabaran untuk untuk membuang persepsi stereotaip yang mengatakan pelawak wanita ni, tak kelakar dan sering dibanding-bandingkan dengan pelawak lelaki.

Biasalah pelawak wanita tak boleh buat lawak yang ‘over’ dan kena banyak berjaga-jaga berbanding pelawak lelaki.
Jadi kami agak terbatas setiap kali tampil dengan sesuatu konten dan situasi itu membuatkan orang anggap kita tak kelakar.

Berbanding dengan lelaki, mereka boleh buat ‘over’ dan orang suka tengok yang over itu. Kutuk sesama sendiri pun orang boleh gelak. Itu kelebihan mereka.

Jadi pelawak wanita kena cari kelebihan lain dan sentiasa cari konten kuat untuk tackle penonton. Bila orang dah suka, buat apa pun akan jadi kelakar nanti. Itulah yang saya lihat pada Jihan dan Vicha yang kini semakin diterima ramai, meskipun suatu masa dulu mereka juga melalui pengalaman sama.

Adakah penonton memberikan reaksi berbeza terhadap komedi daripada pelawak wanita berbanding lelaki?
Ya dan tidak. Ia terpulang pada jenis persembahan dan penonton yang terlibat pada satu-satu persembahan komedi itu.

Iklan

Kalau saya buat persembahan di kelab komedi, kebanyakan mereka memberikan reaksi berdasarkan pesembahan kita, tak kira pelawak lelaki atau perempuan.

Bagi sesetengah persembahan di pentas biasa pula, ada yang mudah terhibur dengan pelawak lelaki. Misalnya saya pernah tengok situasi, bila pelawak wanita naik pentas penonton dah ada persepsi tak kelakar, padahal dia belum buat apa-apa lagi kat pentas. Manakala pelawak lelaki yang baru berjalan masuk pentas dah boleh buat orang gelak.

Dari segi tawaran kerja, adakah pelawak wanita mendapat peluang yang sama dengan pelawak lelaki?
Alhamdulillah dari segi tawaran atau peluang kerja tak pernah ada perbezaan untuk pelawak lelaki mahupun wanita. Sepanjang aktif dalam bidang ini, saya lihat peluang diberikan sama rata.

Malah pihak stesen TV mahupun penganjur sebenarnya memang mahu lebih ramai pelawak wanita terlibat dalam program mereka tapi kita tak ramai. Pelakon komedi wanita ramai, tapi pelawak wanita boleh kira dengan jari.

Adakah jumlah pengikut di media sosial turut menjadi ukuran kepada kedudukan seseorang pelawak untuk mendapatkan tawaran kerja?

Iklan

Berbanding pelakon dan penyanyi, saya rasa pelawak mungkin terkecuali. Mereka tak kisah pun jumlah pengikut di laman sosial asalkan boleh buat orang ketawa, OK saja.

Bagaimanapun kalau dalam masa sama, seorang pelawak itu mempunyai jumlah pengikut yang ramai, kira bonuslah.

 

(Foto: Instagram Filzah Azmi)