Pembabitan dalam muzik hanya suka-suka, namun bawa tuah buat Zulin Aziz

Untitled design (52)
Untitled design (52)
A
A
A

NAMA Zulin Aziz dalam industri seni bukan hanya mekar di lapangan lakonan, pengacaraan dan komedi, tetapi selebriti berusia 32 tahun itu turut berbakat dalam dunia seni suara.

Justeru tidak keterlaluan untuk menyifatkan pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu sebagai artis versatil yang berada di kelas tersendiri.

Tidak hanya menyanyi, Zulin juga berbakat menghasilkan karya sendiri menerusi penciptaan lagu dan penulisan lirik.

Sejak mula menjinakkan diri, Zulin sudah menghasilkan empat single iaitu Terbiar (2017), Keliru (2018), Dan Ketika Itu (2018) dan Jadikan Aku Yang Halal (2019).

Terbaharu, Zulin menerusi syarikat rakaman 17 Eleven Music melancarkan single Rahsia, juga dipilih menjadi lagu tema drama Penjara Janji yang ditayangkan di Slot Samarinda, TV3 sepanjang Ramadan lalu.

Berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini, Zulin berkata, Rahsia ditulis khas untuk drama terbitan JS Pictures dan tidak ada kaitan dengan dirinya.

“Lagu ini saya buat sepenuhnya sendiri dan merupakan lagu tema drama Penjara Janji yang ditayangkan pada Ramadan lalu. Ia dilancarkan lambat sedikit disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Lagu ini mengisahkan hubungan yang belum pasti. Banyak perkara yang masih belum jelas sampai dia tak tahu hala tuju perhubungan itu, sama ada ke alam perkahwinan atau sampai tahap itu saja. Tetapi dia pilih lelaki yang dia rasa selesa, sebab itu judulnya Rahsia.

“Kalau orang selalu dengar nanti, orang akan fikir lagu ini mengenai kekasih gelap, tapi bukan. Ia ada kena mengena dengan drama Penjara Janji ini.

“Lagu yang dulu memang dibuat khas untuk individu berkenaan, tapi lagu ini tak. Lagu ini sedih sangat nak ditujukan pada orang. Kiranya tak ada kena mengena dengan diri saya pun,” jelasnya.

Biarpun ramai memuji bakat nyanyian dimiliki, selain karya dihasilkan itu mendapat maklum balas positif peminat muzik tempatan, Zulin mengakui pembabitannya dalam bidang nyanyian hanya sekadar suka-suka.

“Menyanyi bukanlah fokus saya, ia sekadar suka-suka. Tapi semua single yang saya hasilkan adalah untuk lagu tema drama. Ini mungkin rezeki saya menyanyi untuk lagu tema drama.

“Sejujurnya, tidak pernah terfikir untuk masuk Muzik Muzik atau Anugerah Juara Lagu (AJL), tak pernah terfikir sampai tahap itu pun.

“Saya akui memang pernah ada pihak approach untuk ketengahkan lagu saya, cuma saya memang tak hantar pun lagu ke radio dan sebagainya sebelum ini.

“Lagi pun syarikat rakaman 17 Eleven Music tahu, saya menyanyi bukan untuk serius. Saya memang buat lagu sekadar untuk lagu tema.

“Tidak terfikir nak pergi jauh dalam bidang ini sebab saya bukan penyanyi profesional. Boleh menyanyi tapi tak sebagus penyanyi sedia ada,” katanya.

Lagu Rahsia sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital bermula 25 Jun lalu dan serentak itu video muzik rasmi lagu Rahsia boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Dalam pada itu, berkongsi rutin hariannya semenjak kawalan pergerakan dilaksanakan, Zulin berkata, dia kini sibuk dengan perniagaan sambal.

“Sambal itu adalah resepi saya sendiri. Alhamdulillah dapat sambutan menggalakkan. Jadi waktu siang saya fokus untuk menyiapkan tempahan.

“Sebenarnya saya ada dapat tawaran pengacaraan program travelogue, namun penggambaran terpaksa ditangguhkan kerana PKP.

“Jadi sekarang saya cuma tunggu tarikh untuk bekerja sahaja.” ujarnya.

https://youtu.be/p43NLCsA09k

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca