PEMERGIAN pelakon dan pengacara terkenal Bollywood, Sidharth Shukla, 40, akibat serangan jantung pada Khamis lalu ditangisi rakan dan peminat sehingga hari ini.

Kematian Sidharth, 40, mengejutkan ramai pihak, apatah lagi beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, bintang filem Humpty Sharma Ki Dulhania itu dilihat sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda.

Difahamkan, aktor tersebut sudah tidak bernyawa ketika tiba di Hospital Mumbai Cooper pada hari kejadian dan disahkan sendiri oleh pengarah hospital berkenaan.

Bintang terkenal, Salman Khan, turut berduka dan terkejut atas pemergian sahabatnya itu. Salman yang menitipkan ucapan takziahnya di laman Twitter mengakui begitu terasa dengan kehilangan itu.

“Pergi terlalu cepat Siddharth. Kamu akan dirindukan. Turut berduka cita buat keluarga. Semoga tenang di sana,” katanya.

Sementara stesen TV tempat Sidharth bekerja, Colors TV, menganggap pemergiannya sebagai satu kehilangan besar buat industri hiburan Bollywood.

Iklan

“Kami di Colors sangat berduka dan bersedih terhadap pemergian mengejut anggota keluarga kami, Sidharth Shukla.

“Kehilangan yang tiada ganti untuk kami dan seluruh industri,” ujar wakil stesen tersebut.

Iklan

Sidharth memulakan kerjaya seninya sebagai model sebelum aktif sebagai pelakon filem dan TV. Dia juga merupakan pengacara India’s Got Talent dan pernah menyertai program realiti Bigg Boss 13 dan Fear Factor India, Khataron ke Khiladi.

Siddharth membuat debut dalam dunia perfileman menerusi Humpty Sharma Ki Dulhania, arahan pengarah terkenal, Karan Johar, pada 2014.