SELEPAS hampir dua tahun tidak menjayakan persembahan secara terbuka, vokalis kumpulan Spider, Tam, mengakui teruja dapat kembali bertemu peminat secara bersemuka.

Biarpun perlu mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berwajib, Tam atau nama lengkapnya, Rustam Musafah, 48, bersyukur apabila industri muzik kembali ‘bernafas’.

“Alhamdulillah setelah lama berkurung, penggiat-penggiat seni terutamanya dalam industri muzik dapat kembali aktif bekerja.

“Biarpun ada SOP yang perlu dipatuhi, namun saya dan rakan-rakan tidak melihat ia sebagai sesuatu yang membebankan sebaliknya percaya itulah yang terbaik buat kita semua ketika ini.

“Kalau mahu kembali bekerja macam dulu, sama-samalah jalankan tanggungjawab masing-masing dan doakan agar keadaan bertambah baik selepas ini,” ujarnya.

Tam yang juga aktif sebagai komposer dan penerbit lagu itu ditemui ketika menjayakan persembahan bersama Spider pada Showacse Kenangan Lalu Kuala Lumpur anjuran radio KLFM di Balckbox, Publika baru-baru ini.

Teruja dengan sambutan diberikan peminat, Tam berkata, persembahan tersebut adalah pertama kali buat mereka selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Persembahan ini sangat bermakna buat kami kerana memang sangat lama tidak dapat beraksi di pentas menghiburkan penonton secara terbuka.

“Kali terakhir kami menjayakan showcase Spider di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada 8 Mac 2020 dan seminggu selepas itu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menyaksikan aktiviti industri seni terhenti seketika.

“Jadi apabila dapat kembali bersama peminat dan lihat sambutan meriah diberikan meskipun dalam kekangan SOP, kami rasa cukup terharu, malah bersemangat untuk tampil dengan lebih banyak persembahan pada masa akan datang,” katanya.

Adaptasi norma baharu

Dalam pada itu, Tam turut berkongsi hasrat Spider mengadakan sebuah persembahan istimewa buat peminat sempena ulang tahun ke-25 penglibatan kumpulan yang cukup dikenali dengan lagu Relaku Pujuk itu dalam industri muzik.

“Kalau ikutkan perancangan asal, kami sepatutnya tampil dengan sebuah showcase sempena 25 tahun penglibatan dalam industri.

Iklan

“Bagaimanapun ia tidak dapat dilakukan kerana situasi pandemik. Dalam masa sama, kami juga menghormati segala SOP yang ditetapkan untuk kebaikan bersama.

“Kalau ada rezeki dan peluang, insya-ALLAH showcase itu akan berlangsung juga. Cuma saya tidak dapat berjanji apa-apa buat masa ini,” jelasnya.

Menyentuh tentang isu vaksinasi dalam kalangan penggiat seni yang hangat diperkatakan apabila ada segelintir daripada mereka menolak vaksin, bapa kepada empat anak itu mempunyai pendapatnya sendiri.

“Isu vaksin sangat sensitif dan saya rasa kita perlu menghormati pendirian dan keputusan setiap orang. Janganlah disebabkan hal ini, kita semua berpecah-belah.

Iklan

“Saya sendiri tak pernah persoalkan siapa ambil vaksin atau sebaliknya. Vaksin adalah pilihan masing-masing. Kalau rasa perlu, ambil dan kalau tidak mahu janganlah buat kecoh.

“Untuk saya dan keluarga, kami memilih untuk melindungi diri dengan vaksin dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Tam Spider)