PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia dan negara sejak lebih setahun lalu ternyata memberi kesan besar kepada kehidupan ramai orang termasuk golongan penggiat seni yang terjejas pendapatan.

Tidak mahu hanya berpeluk tubuh menunggu pengakhiran pandemik, penyanyi dan vokalis kumpulan Rio yang terkenal dengan lagu Layu Di Hujung Mekar, Shafie, mencari peluang menambah pendapatan menerusi jualan Kek Buah Kukus Gula Hangus.

Biarpun ia hanya peniagaan kecil-kecilan yang diusahakan secara dalam talian, Shafie, 56, mengakui puas apabila jualan kek hasil air tangan isterinya itu mendapat sambutan hangat.

“Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, permintaan terhadap jualan Kek Buah Kukus Gula Hangus sangat tinggi menyebabkan saya dan isteri membuat keputusan untuk fokus pada produk itu.

“Kami tidak mempunyai pembantu, segalanya dilakukan sendiri daripada proses memasak sehinggalah kepada penghantaran.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah, bagaimanapun kami puas apabila usaha itu membuahkan hasil untuk survival kami dalam tempoh sukar ini,” katanya kepada SinarPlus.

Shafie mula seronok berniaga dan terharu mendapat sokongan daripada peminat.

Menyifatkan pengalaman baharu itu sebagai suatu yang berharga buat dirinya, Shafie, sentiasa positif mendepani cabaran mendatang.

“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk berniaga kerana selesa dengan kehidupan makan gaji ketika berkhidmat sebagai pegawai bank selama hampir 30 tahun, selain pendapatan sebagai penyanyi.

“Bagaimanapun, selepas berhenti kerja pada 2017 dan kembali menyanyi secara sepenuh masa sehingga pandemik melanda, barulah saya tergerak hati untuk berniaga.

“Alhamdulillah pada saat sukar begini, berniaga menjadi penyelesaian terbaik untuk menambah pendapatan ketika tawaran menyanyi hampir tiada langsung,” katanya yang kali terakhir menjayakan persembahan pentas pada Mac tahun lalu.

Bukan sahaja mampu menambah pendapatan, bekas peserta Gegar Vaganza musim kelima itu juga melihat ia sebagai peluang mendekati peminatnya.

Iklan

“Sebelum pandemik, saya pernah berniaga sambal di Laman Santai Selebriti di Selayang. Ramai peminat datang beli hasil jualan, selain mahu berjumpa saya.

“Begitu juga ketika menjual Kek Buah Kukus Gula Hangus ini. Biarpun ia dilakukan secara dalam talian, mereka tetap menyokong.

“Ada peminat yang mahukan saya sendiri hantar jualan atau sekurang-kurangnya menurunkan tandatangan pada pelekat yang mempamerkan wajah saya pada bekas kek itu,” katanya.

Berkongsi perkembangan seninya selepas ini, Shafie bakal tampil dengan sebuah single baharu sebagai buah tangan untuk peminat.

Iklan

“Sebenarnya single tersebut telahpun siap sepenuhnya, namun disebabkan PKP saya tangguhkan dulu sehingga keadaan kembali okey nanti.

“Saya faham ketika ini ramai terkesan dan kehilangan pekerjaan. Bagi mereka yang dalam kesusahan, mintalah bantuan untuk ringankan beban.

“Saya percaya dan yakin, ramai yang sedia membantu. Janganlah menanggung masalah bersendiri sehingga membawa kepada kemurungan dan sebagainya pula,” katanya.