KEJADIAN banjir yang melanda beberapa lokasi Lembah Klang sejak Jumaat lalu memberikan kesan besar kepada mereka yang terlibat. Ramai yang mengalami kerugian harta benda termasuk kehilangan rumah akibat dihanyutkan banjir.

Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan turut mengalami situasi sama apabila rumah yang didiami bersama neneknya di Kampung Belah, Klang turut dinaiki air dan terpaksa meninggalkan kediaman demi keselamatan mereka pada Sabtu.

Difahamkan banyak kerosakan yang berlaku pada rumah penyanyi Malam Semakin Dingin itu terutamanya barangan asas.

Terbaru, Afieq sudah kembali ke rumahnya semula untuk aktiviti pembersihan dan mengeluarkan barangan rosak.

Menerusi sesi siaran langsung di Instagramnya pada Isnin, Afieq berkata, dia mengambil masa yang agak lama untuk membersihkan rumah kerana hanya tinggal berdua bersama neneknya yang kini berusia 70 tahun.

Melihat pada situasi yang dikongsi menerusi sesi tersebut ramai peminat yang menawarkan diri untuk membantu penyanyi itu membersihkan rumahnya.

Iklan

“Saya pun serba salah nak minta tolong dengan orang sebab ramai yang turut terkesan dan berdepan situasi sama macam saya,” katanya yang sibuk membersihkan rumah bersama neneknya.

Iklan

Tambah Afieq, buat masa ini dia tidak dapat memastikan sejauah mana kerosakan barangan di rumahnya kerana lebih menumpukan kepada aktiviti pembersihan terlebih dahulu.

Afieq sebelum ini memaklumkan terpaksa meninggalkan kediamannya di Klang demi keselamatan selepas rumahnya dan penduduk sekitar dinaiki air dan berdepan risiko banjir.