Peminat sandarkan harapan, Marsha gentar beraksi di AJL36

MARSHA MILAN
MARSHA MILAN
A
A
A

BERGELAR finalis Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) adalah sesuatu yang begitu istimewa buat penyanyi Marsha sepanjang 16 tahun sepanjang aktif dalam industri muzik tanah air.

Manakan tidak, pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh, 37, berkata, ia merupakan penyertaaan pertamanya dalam acara muzik berprestij itu.

Melayakkan diri menerusi lagu Cinta, sebuah karya ciptaan Akim Ahmad dan Stacy, bekas peserta Akademi Fantasia 3 itu menganggap ia sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

“Sudah 16 tahun saya bergelar penyanyi dan menghasilkan pelbagai jenis lagu, tetapi ini kali pertama berjaya bolos ke pentas AJL.

“Ketika mendapat tahu tentang berita tersebut, saya seakan tidak percaya dan hanya satu jam selepas itu barulah yakin ia benar-benar berlaku dan menangis kegembiraan.

“Sejujurnya saya tidak meletakkan apa-apa harapan untuk menang pada malam kemuncak nanti kerana keazaman lebih terarah kepada memberikan persembahan terbaik untuk lagu Cinta di pentas yang menjadi idaman saya sebelum ini,” ujarnya.

Kongsi Marsha, ramai peminat meletakkan harapan tinggi sehingga ada yang mahu melihat dirinya mengungguli kategori Vokal Terbaik untuk edisi kali ini.

“Saya bersyukur dan terharu apabila menerima kata-kata semangat daripada peminat, selain doa yang saban hari dikirimkan menerusi di laman sosial agar kejayaan menyebelahi saya, terutamanya untuk vokal.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa, cuma saya berusaha menggunakan peluang ini sebaik mungkin. Saya akan cuba untuk berikan sesuatu, tetapi segalanya nanti terjadi mengikut aturan ALLAH SWT,” katanya yang kini menjalani latihan vokal bersama Cikgu Shafi.

Jaga kesihatan

Dalam masa sama, anak kelahiran Sabah itu mengakui sentiasa menjaga kesihatan agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas dirinya menjelang AJL36 yang bakal berlangsung pada 6 Mac depan.

“Saya kini lebih fokus untuk menjaga kesihatan dan banyak duduk di rumah saja, apatah lagi ketika ini kes Covid-19 menunjukkan peningkatan tinggi.

“Pertengahan tahun lalu, saya turut dijangkiti Covid dan keadaan agak teruk ketika itu apabila saya mengalami jangkitan pada paru-paru yang memberi kesan pada pernafasan serta stamina. Waktu itu saya memang hilang semangat dan alami depresi. Mujurlah ada suami dan keluarga yang sangat memahami dan menyokong.

“Alhamdulillah kini keadaan kesihatan bertambah baik biarpun belum berada di tahap seratus peratus,” akuinya yang menyanyikan lagu Cinta secara live buat pertama kali ketika minggu separuh akhir Muzik Muzik hujung tahun lalu.

Marsha berkata, pernah satu ketika dia terdetik tidak mahu lagi fokus kepada nyanyian kerana beranggapan lebih diterima dalam cabang seni lain, terutama lakonan.

“Ketika itu saya rasa mungkin dah tak ada orang ingat saya sebagai penyanyi. Nak buat single pun rasa macam buat habis duit sahaja. Namun siapa sangka rezeki tertulis menerusi lagu Cinta yang membawa saya ke pentas AJL36,” katanya.

(FOTO: TV3)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca