Pencipta karya muzik mohon pembelaan, mahu penubuhan One Stop Shop dikaji semula

MACP
MACP
A
A
A

PADA awal Jun 2022, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah mengadakan satu soal selidik dengan tujuan untuk diajukan kepada awam terutamanya pemilik hak muzik di Malaysia dengan mencadangkan penubuhan One Stop Shop.

Cadangan tersebut merupakan sebuah bayangan kepada penubuhan badan pelesenan tunggal yang telah dibubarkan pada April 2020, Music Rights Malaysia (MRM).

Terdahulu penubuhan MRM yang menyatukan kesemua badan pelesenan muzik di atas arahan pihak kerajaan pada 2017 telah membuka mata para pemilik hak muzik di mana aktiviti pelesenan tunggal tidak dapat dilaksanakan di bawah satu payung yang sama.

Ia berikutan pemilikan hak adalah berbeza mengikut mandat yang diberikan oleh pemilik kepada badan pelesenan seperti Music Authors' Copyright Protection (MACP) yang mewakili komposer, penulis lirik dan syarikat penerbit, Public Performance Malaysia (PPM) mewakili syarikat rakaman dan Recording Performers Malaysia (RPM) serta Performers & Artistes Rights Malaysia (PRISM) yang mewakili para pemuzik dan penyanyi.

Melihat kepada situasi tersebut, ramai penggiat dan pencipta muzik tanah air tanah air

menyuarakan kegusaran serta keresahan mereka berikutan cadangan penubuhan One Stop Shop dibayangi kegagalan MRM dalam mentadbir badan pelesenan tunggal yang berakhir dengan pembubaran organisasi tersebut.

Penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan berkata, MyIPO sepatutnya sedia maklum tentang kesan penubuhan dan pembubaran MRM sebelum ini.

“Banyak masa, tenaga dan wang ringgit kami semua terkorban akibat ‘perkahwinan paksa’ antara badan-badan perlesenan kita. Apakah kita hendak dipaksakan sekali lagi dan mengulangi kegagalan yang sama?

“Dalam hendak memenuhi kemahuan pengguna, apakah hak dan kebajikan warga industri muzik tanah air harus dikorbankan? Apakah kehadiran kami tidak penting sama sekali sehingga semudahnya nasib karyawan muzik hendak cuba diperkotak katikkan oleh pihak-pihak tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Habsah, 73, yang juga ahli MACP menyifatkan penghasilan sesebuah karya muzik bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi ia melibatkan banyak pihak dan setiap daripada mereka mempunyai peranan berbeza.

“Ia adalah satu kerja yang bukannya sekadar hobi semata-mata. Sebaliknya memerlukan idea, kreativiti, masa, tenaga dan modal yang bukan sedikit.

“MACP sebagai pemegang hak utama yang mewakili para komposer, penulis lirik dan penerbit sudah tentu akan mempertahankan haknya. Begitu juga badan-badan pelesenan yang lain yang punyai kepentingan berbeza.

“Apakah formula pengagihan yang hendak dipaksakan pelaksanaannya nanti diyakini dapat diterima oleh badan-badan pelesenan ini? Ini yang harus difahami oleh kerajaan, pihak berkepentingan dan pengguna. Periuk nasi kami sudahlah kecil, janganlah cuba memasukkan pasir ke dalamnya,” tegasnya.

Komposer, penulis lirik dan penyanyi, Datuk M. Nasir pula menyifatkan penubuhan One Stop Shop ini bakal mencetuskan huru hara dalam kalangan pencipta karya muzik yang mengharapkan pembelaan sewajarnya ke atas penggunaan karya mereka.

“Kami anak-anak seni mengharapkan jasa baik pihak kerajaan untuk tidak memperjudikan nasib kami yang majoritinya mengharapkan bayaran royalti untuk perbelanjaan harian kami dan usaha kami dalam meneruskan kerancakan industri muzik di Malaysia,” katanya.

Nada sama turut disuarakan beberapa karyawan muzik lain seperti Eddie Hamid (komposer, penulis lirik dan pemuzik), Baiduri (penulis lirik), Zynakal (komposer, penulis lirik dan penyanyi) serta Zai Hamzah (komposer dan penulis lirik).

Menurut Eddie Hamid, rata-rata anak seni yang menghasilkan karya muzik hanya mampu bertahan dek kerana usaha mereka sendiri mencari jalan untuk teruskan hidup.

“Bayaran royalti turut menjadi talian hidup kami dalam menyara kehidupan. Belajar daripada kesilapan MRM. Usah ulangi kesilapan yang sama,” tegasnya.

Sementara Zynakal pula berharap agar semangat mereka dalam menghasilkan karya tidak dipatahkan oleh penubuhan One Stop Shop tersebut.

“Kami berkarya demi pembangunan muzik di Malaysia. Usah patahkan semangat kami untuk terus berkarya hanya disebabkan idea penubuhan One Stop Shop ini.

“Pembubaran MRM merupakan pengajaran terbaik untuk tidak menyatukan badan pelesenan yang sedia ada di Malaysia.

“Biarkan mereka menjalankan tugasan mereka dalam melesenkan para pengguna mengikut tarif yang telah dipersetujui oleh pihak kerajaan. Dengan hasil kutipan tersebutlah kami masih boleh berkarya sehingga kini,” luahnya.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca