BIARPUN sudah setahun berkecimpung dalam industri seni, kehadiran jejaka berusia 21 tahun ini barangkali masih asing.

Namun bagi Aliff Iskandar, ia bukan satu penghalang buat dirinya terus berkarya dan membuktikan bakat kepada umum.

Tidak seperti segelintir bakat baharu yang senang memilih kontroversi untuk menaikkan nama, penuntut jurusan muzik di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur itu mempunyai pendirian tersendiri.

Menurut Aliff, sebagai seorang bakal guru, dia akan sedaya upaya menjaga nama dan mengimbangi kedua-dua tanggungjawab itu dengan baik.

“Tidak dinafikan tanggungjawab itu memang berat untuk dipikul, lebih-lebih lagi saya bakal bergelar guru.

“Saya perlu sentiasa beringat bahawa setiap tindak-tanduk saya akan memberi kesan kepada maruah diri, keluarga dan syarikat pengurusan iaitu Indigital Music.

“Jadi saya mahu kongsikan perkara yang boleh membawa manfaat pada orang sekeliling dan seboleh-bolehnya mahu elak lakukan gimik.

“Saya tak mahu cari publisiti murahan dan tak apa sekiranya nama lambat naik (terkenal),” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Takdir di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Aliff atau nama penuhnya Nor Aliff Iskandar Norazmi, dia lebih mempercayai kualiti pada sesebuah karya berbanding jalan singkat untuk dikenali.

“Saya bukan nak kata gimik murahan itu tidak penting langsung, tetapi bagi saya kalau kualiti karya kita itu baik, Insya-ALLAH orang akan tetap pandang dan suka dengan apa yang kita hasilkan.

“Kalau kita gunakan gimik tetapi kualiti karya tiada, hasilnya akan sama juga,” jelasnya.

Cabaran rakam Takdir

Dalam pada itu, berkongsi mengenai penghasilan single Takdir, Aliff berkata, lagu berkenaan merupakan karya ciptaannya, manakala lirik dihasilkan bersama penerbit, Jaja Ishak.

Aliff merakamkan lagu Takdir ketika baharu sahaja pulih daripada jangkitan Covid-19.

Lagu yang berkisahkan hubungan cinta tidak kesampaian itu bakal menjadi runut bunyi untuk drama Saat Ku Takluk Cinta Ini yang akan ditayangkan di slot Samarinda TV3 bermula 20 Disember ini.

Iklan

“Sejak awal lagi, saya sudah tetapkan fokus untuk menghasilkan lagu balada supaya lagu saya berpeluang menjadi runut bunyi drama atau filem.

“Sebagai orang baru, saya memang gembira dan bersyukur bila Jaja mahu lagu ini menjadi runut bunyi drama terbitannya.

“Lagu ini diinspirasikan daripada kisah orang sekeliling saya. Apabila saya menulis lirik Takdir, saya membayangkan sebuah perhubungan.

“Semua orang mampu merencanakan hubungan apa yang mereka mahu tetapi pada akhirnya, takdir jua penentu segala,” katanya yang pernah tampil dengan lagu Perit, tahun lalu.

Iklan

Aliff berkata, dia turut berdepan dengan cabaran semasa proses rakaman lagu Takdir kerana baru sahaja pulih daripada jangkitan Covid-19.

“Memang waktu itu keadaan kesihatan belum pulih sepenuhnya tetapi saya perlu siapkan juga rakaman lagu ini.

“Saya ambil masa 10 jam untuk menyelesaikan rakaman kerana pernafasan sedikit terganggu. Tetapi keadaan tersebut tidak memberikan kesan kepada hasil rakaman dan saya gembira dapat melunaskan tanggungjawab merakamkan lagu ini,” ujarnya.

Takdir merupakan lagu terbitan Jaja Ishak Channel dengan kerjasama Indigital Music serta Alternate Records. Lagu ini sudah boleh didengari di semua platform digital, manakala muzik video lakonan Intan Najuwa dan Haridz Suhaile boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music.