SEPASANG kasut Croc sudah tersedia dan disusun rapat di hadapan pintu rumah agam milik keluarga selebriti, Marsha Milan Londoh.

Namun, ia bukan kepunyaan Marsha. Pemiliknya merupakan seorang wanita istimewa berusia 47 tahun yang dipanggil sebagai Hasnia.

Beritahu pelakon drama rantaian, Rindu Awak Separuh Nyawa itu, beliau sudah berjanji membawa Hasnia yang merupakan adik kepada ibu mertuanya berjalan-jalan.

Hati Marsha sangat luhur. Meskipun dunianya dilingkari kerdipan populariti, beliau sedikitpun tidak malu memberitahu khalayak bahawa dirinya ‘berkawan rapat‘ dengan seorang yang sindrom down.

Lihat sahaja entri dalam Instagramnya. Pelantun lagu Cinta itu tidak segan memuat naik aktiviti mereka berdua.

Ketika dilontarkan pertanyaan tentang Hasnia, Marsha lantas berkata: “Marsha lihat tiada sebab untuk sorokkan Hasnia. Hakikatnya ramai lagi yang seperti dia. Marsha sebagai seorang selebriti perlu wujudkan kesedaran agar masyarakat tak menyisihkan golongan sebegitu.

Mungkin ramai di luar sana kurang tahu bagaimana mahu menjaga ahli syurga. Melalui media sosial inilah, Marsha sedaya upaya cuba beri panduan dan suntik (kesedaran). Mereka sebenarnya sama seperti kita, perlukan perhatian.“

Figura kelahiran Michigan, Amerika Syarikat itu seolah sedang menyusun aksara kata. Beritahunya dengan nada tenang, sebelum melangsungkan pernikahan dengan Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, beliau tidak mengetahui kewujudan Hasnia.

“Beberapa minggu sebelum berkahwin, Shaiful membuka mulut dengan memberitahu dia mempunyai seorang mak cik yang selalu berada di biliknya sahaja. Apabila Marsha berpindah mengikut suami, barulah Marsha tahu tentang Hasnia,“ katanya yang tidak pernah melebarkan sempadan diri walau bergelar orang ternama.

Siapa yang tidak kenal dengan karakter aktif dan manja Marsha, bukan? ‘Berbekalkan‘ kelebihan itulah nampaknya wanita kelahiran Kadazan-Dusun untuk berjaya menawan hati Hasnia.

Semua ahli keluarga memang beri perhatian pada beliau, tapi Marsha kan perangai macam ‘kucing‘ sedikit. Suka kacau dan main-main dengan dia. Dia pun nampaknya senang dengan Marsha. Sebenarnya, tak susah untuk jaga Hasnia terutama apabila dia sudah kenal dengan kita. Untuk Hasnia, kita ajak dia keluar, belanja dia makan ayam goreng, hidup dia sudah lengkap,“ tutur Marsha penuh ketelusan.

Keakraban mereka berdua bukan dibuat-buat. Buktinya sepanjang wawancara kru SinarPlus di kediaman mewah keluarganya di Petaling Jaya, Selangor, Marsha kadangkala menghentikan perbualan demi melayani Hasnia.

Tatkala wanita syurga itu sudah nampak bosan, penyanyi bersuara lunak itu membuka laman YouTube untuknya. Marsha secara berselang-seli cuba bersembang dan berkali-kali memujuk insan hebat anugerah ALLAH itu supaya sabar menantinya untuk keluar berjalan-jalan.

Keikhlasannya sangat terserlah. Jiwanya juga dilihat langsung tidak terbeban dengan kehadiran wanita bernama Hasnia.

Sebumbung dengan mertua

Slaid kehidupan artis serba boleh itu boleh dirumuskan mengalami transisi yang menyeluruh selepas berkahwin.
Tidak seperti kebanyakan wanita yang enggan sebumbung dengan keluarga mertua, Marsha sebaliknya. Selebriti itu enggan mengasingkan dirinya.

Beliau juga membuka rahsia bahawa kediaman yang terletak bersebelahan padang golf yang didudukinya kini dihuni oleh 20 individu yang mempunyai pertalian rapat.

“Ya, betul, ada 20 orang dalam rumah ini. Apa yang Marsha boleh katakan, diri ini sangat bertuah. Sebelum kahwin, suami sudah perkenalkan ahli familinya terlebih dulu. Bila kami sudah bernikah, hubungan makin erat.

“Selepas itu, suami cakap, selagi ahli keluarganya ada, kami kena menjaga mereka. Di situ kami sudah ada persefahaman. Alhamdulillah, mereka semua memang baik, maka tidak wujudlah tekanan dan semuanya baik-baik sahaja,“ katanya yang baru pulih daripada virus Covid-19.

Pun demikian, pada 22 Mei lalu, Marsha menerima perkhabaran duka apabila bapa mertuanya, Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman menghadap Ilahi. Pemergian orang yang disayanginya itu disifatkan satu kehilangan yang sangat besar.

Marsha berusaha untuk tidak terus larut dalam kesedihan. Beliau menyambung ceritanya. Ujar selebriti itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan pada Mac tahun lalu merupakan faktor dominan yang telah merapatkan lagi silaturahim mereka.

Marsha kerap mengulangi pernyataan itu ketika kami berbual. Masakan tidak, sebelum itu, katanya, semua ipar-duainya sibuk melakukan rutin masing-masing.

“Kami sama-sama bincang nak buat atau makan apa setiap hari? Contohnya, ada satu hari ramai sepakat mahu makan burger, jadi kami sama-sama buat isi burger sendiri. Ia sangat menyeronokkan,“ katanya.

Bagaimana pula jalinan dengan keluarga kandung? Daripada riak wajahnya, seperti wujud kerinduan yang tidak terbendung. Selepas terdiam sejenak, Marsha terus membutirkan kata.

“Sebelum pandemik, Marsha akan pastikan berjumpa dengan mereka sebulan sekali di Sabah walaupun terpaksa balik pada hari yang sama juga. Namun, sejak PKP, sudah setahun lebih tak dapat berbuat demikian.

“Ahli keluarga pun ada yang tak berapa sihat, uzur dan inilah yang membuatkan Marsha rasa diuji,“ katanya.

Walaupun nadanya tidak menggambarkan kedukaan yang berselirat dalam sanubari, saya dapat rasanya hatinya bagai dikoyak-koyak menahan rasa kangen.

Mencurah bakti

Tidak mahu selebriti jelita itu terus terbawa-bawa dengan koleksi perasaan yang bercampur-baur, saya menghalakan topik yang lebih menyenangkan untuk beliau jawab.

Iklan

Saya bertanyakan apa lagi yang ingin beliau lakukan untuk Sabah? Sambil membetulkan posisi duduknya, Marsha dengan penuh semangat memberitahu, beliau mahu terus mencurahkan bakti. Pun demikian, bukan melalui wang ringgit, tetapi hasil artikulasi seni.

“Ya, Marsha ingin promosikan budaya negeri kami melalui nyanyian. Kalau nak diikutkan, hampir setiap bulan Marsha akan keluarkan lagu-lagu rakyat (Sabah). Ia ibarat seperti projek CSR (tanggungjawab sosial korporat) daripada Marsha dan kawan-kawan senegeri,“ katanya yang sering berduet dengan Velvet Aduk dan Fanzi Ruji.

Nampaknya pertaruhan awal anak Sabah itu bersama Velvet berduet menyanyikan lagu berjudul Sumandak Sabah meledak dan sangat diminati ramai. Setakat artikel ini ditulis, lagu berkenaan sudah mencecah lebih 13 juta tontonan di laman YouTube.

Kata Marsya, pada bulan lalu, beliau baru sahaja melancarkan lagu bertajuk Arraimati (Jom Beramai-ramai) sekali lagi berkolaboratif dengan Velvet.

Artis itu sekali membuktikan kemantapan vokalnya bersama Fanzi apabila berpadu suara mendendangkan lagu dalam Bahasa Dusun bertajuk Ika Noh (Itu Awak). Menariknya, karya tersebut digubah sendiri oleh Marsha dengan lirik tulisan Fanzi, Asfarinah Mansor dan Carlesie Lubin.

Enggan berpeluk tubuh

Beritahu Marsha, beliau mempunyai tematik sendiri dalam melengkapkan kamus hidupnya. Ya, benar beliau beruntung bersuamikan ahli perniagaan berjaya. Namun tegasnya, itu bukan tiket untuknya bersenang-lenang, apatah lagi bergoyang kaki.

“Marsha juga harus berkerja dan sedang melaksanakan beberapa projek dalam arena lakonan dan nyanyian termasuk dalam bidang fesyen. Terkini, label Marsha, MarshaMilans menghasilkan anak tudung (Anak Tudung By Masha), sebelum ini kami lancarkan telekung,“ katanya yang memeluk Islam secara rasmi pada tahun 2015.

 

Iklan

Kesungguhan figura berkenaan yang memilih item menutup aurat itu menerima pujian melata kerana ia dianggap sebagai dakwah kecil daripada seorang mualaf. Ditambah lagi dengan beberapa watak dalam lakonannya yang kini memerlukannya memakai tudung.

Adakah itu petanda positif Marsha akan memakai hijab? Sambil tersenyum manis, beliau berkata: “Insya-ALLAH kita sama-sama doakan. Suami juga gembira kalau Marsha memakainya, tetapi perlahan-lahan sebab Marsha masih ingin mempelajari lagi dengan lebih mendalam tentang Islam.“

Ramai juga bertanya apa rahsianya tetap kekal langsing dan sering tampil elegan tanpa gagal setiap hari.

“Oh, mudah saja. Marsha elak makanan yang banyak gula dan kurangkan nasi lebih-lebih usia sudah menjangkau 30-an,“ katanya.

Di samping itu, beliau juga mengamalkan aktiviti yoga sejak tahun 2006.

“Yoga memang banyak membantu, selain menguatkan tulang, ia juga membantu Marsha meningkatkan stamina tubuh badan,“ katanya.

 

Foto Asril Aswady Shukor, Instagram @marshamilan, Instagram @marshamilans, Instagram @velvetaduk dan Instagram @fanziruji
Mekap Jijie Zainal (@jijiezainal)