ANUGERAH Juara Lagu 35 (AJL35) yang telah dirancang untuk bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada 7 Februari 2021, ditunda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, ia ditunda bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada petang Isnin.

“Ketika dalam sidang media AJL35 pada Ahad, saya dan Penerbit Eksekutif AJL35, Puan Huda sememangnya berharap agar PKP tidak dilaksanakan dan AJL35 boleh berlangsung seperti yang dijadualkan.

“Namun petang semalam YAB Perdana Menteri telah menguatkuasakan PKP bermula hari Rabu ini sehingga 26 Januari 2021.

“Tempoh 14 hari PKP ini akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35, terutama kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain. Hal ini kerana, kerja-kerja pembinaan tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Oleh itu untuk kebaikan semua pihak, kami memutuskan untuk menunda AJL35 ke tarikh yang akan diberitahu kelak, sebaiknya setelah tempoh PKP ditamatkan secara rasmi.

Iklan

“Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, mahupun secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan AJL35 ini. Kami berharap juga agar semua rakyat akan patuh PKP demi kebaikan dan keselamat kita semua,” ujarnya.

Iklan

AJL35 disokong oleh penaja utama, McDonald’s Malaysia, penaja-penaja bersama iaitu Celcom Xpax dan Sabella serta Shell selaku rakan penaja. Selain itu, AJL35 turut disokong oleh rakan-rakan pemasaran, rakan radio Hot FM dan Kool FM serta rakan digital Senang Terhibur, OHBULAN! dan xtra.com.my.

Dapatkan maklumat lanjut AJL35 di laman sesawang www.anugerahjuaralagu.com serta laman sosial media rasmi Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia dan Senang Terhibur. Ikuti juga trend semasa perbualan alam maya melalui #AJL35.