SETELAH beberapa kali ditangguhkan tayangan disebabkan pandemik Covid-19, filem fiksi ilmiah berjudul 65 kini ditayangkan di seluruh pawagam bermula 9 Mac.

Filem arahan Scott Beck dan Bryan Woods yang sebelum ini meledak dengan filem A Quite Place itu memberi pilihan berbeza kepada penonton dengan menyajikan jalan cerita menarik berkenaan pengembaraan ke masa lalu, 65 juta tahun sebelum era terkini.

Naskhah ini mengisahkan tentang seorang astronot bernama Mills lakonan Adam Driver yang melakukan penerbangan dengan sebuah pesawat jet tempur berteknologi super canggih.

Mills sudah melakukan persiapan rapi sebelum penerbangannya dan membayangkan akan melakukan sebuah perjalanan yang luar biasa. Malangnya pesawat terbabit berlanggar dengan serpihan komit sehingga menyebabkan ia terhempas di sebuah planet misteri.

Hanya Mills dan seorang gadis remaja, Koa yang terselamat. Namun mereka terperangkap di sebuah lokasi dipenuhi dengan makhluk prasejarah termasuk dinosaur yang sangat ganas.

Naskhah ini akan membawa penonton untuk mengembara dalam sinematik dunia prasejarah lebih 65 juta tahun dahulu di mana ketika itu wujudnya pelbagai makhluk yang kini sudah pupus dan lenyap dari muka bumi.

Gambaran tersebut dicipta penuh kreatif oleh Beck dan Woods selaku pengarah untuk meyakinkan penonton tentang apa yang sedang dilalui dua teraju utamanya, Mills dan Koa yang perlu bertahan hidup melawan ancaman makhluk di sekeliling mereka.

Dua watak

Penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) dalam naskhah semestinya banyak membantu, meskipun ada beberapa bahagian yang dilihat kurang kemas dan mengganggu tontonan.

Antara babak menarik dalam filem 65.

Filem ini menampilkan karakter yang sangat terhad dan tumpuan sepanjang satu jam 33 minit itu hanyalah kepada aksi dua watak utamanya yang mungkin sedikit sebanyak menimbulkan rasa bosan penonton.

Adam Driver sudah memberikan lakonan terbaiknya, tetapi ia ternyata belum cukup memberikan impak kepada karakter yang dibawa.

Mujur ada babak-babak aksi melawan haiwan prasejarah yang ditampilkan dalam filem ini berjaya mewujudkan keterujaan serta ketegangan emosi kepada penonton sama-sama mengikuti perjuangan karakter utamanya untuk menyelamatkan diri daripada ancaman terbabit.

Iklan

Tidak hanya itu, naskhah itu turut membawa mesej tentang kekeluargaan yang berjaya meninggalkan kesan kepada tontonan meski dalam penceritaan yang cukup sederhana.

Secara keseluruhannya filem 65 masih menghiburkan untuk ditonton. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan dengan anda.

65
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P12
Genre: Sains Fiksyen/thriller
Durasi: 1 jam 33 minit
Pengarah: Scott Beck, Bryan Woods
Pelakon: Adam Driver, Ariana Greenblatt, Chloe Coleman
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 9 Mac 2023

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.