Penularan Covid-19 beri kesan mendalam, Bob Yusof bangkit dengan Beribu Rasa

A
A
A

SAMA seperti kebanyakan orang lain, penyanyi Bob Yusof juga terkesan dengan penularan pandemik di Malaysia sehingga membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan.

Akui Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Usop, 40, apa yang dilaluinya sepanjang tempoh dua tahun itu menjadi pengalaman dan pelajaran paling berharga sepanjang bergelar anak seni.

Meskipun perit melaluinya, Bob bersyukur kerana dapat melalui perkara tersebut dengan hati terbuka meskipun ada kalanya ‘sesak’ mencari pendapatan dalam fasa tersebut.

“Saya percaya ramai yang terkesan dengan apa sudah dilalui. Ada yang hilang pekerjaan, mengalami tekanan perasaan dan ada juga rumah tangga bergoncang kerana hilang pendapatan dan sebagainya.

“Tapi saya bersyukur kerana dapat melalui fasa getir berkenaan dan tidak terperangkap dengan emosi sendiri. Harapnya dengan keadaan semasa yang semakin pulih sekarang, semua orang mampu membina semula kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Paling tidak dilupakan apabila dia tidak dapat pulang beraya di kampung halamannya di Limbang, Sarawak dan lebih menyentuh hatinya apabila tidak dapat menziarahi pusara ibu dalam tempoh berkenaan.

“Baru-baru ini saya ada pulang ke kampung di Limbang tapi masih tidak dapat ke pusara ibu memandangkan belum dibenarkan menziarahi kerana kawasan tersebut menjadi pusara untuk mangsa Covid-19.

“Saya memang sedih tapi reda dengan keadaan tersebut. Tak apalah, saya kirimkan sahaja doa bagi mengubat kerinduan yang tak berpenghujung,” jelasnya.

Beribu Rasa disifatkan simbolik kebangkitan.

Mengubat segala kedukaan yang telah dilalui sebelum ini, Bob kini tampil dengan lagu Beribu Rasa dan single tersebut sudah berada di semua platform digital manakala video muzik boleh ditonton di YouTube Bob Yusof Channel.

Lagu yang dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Slen Fadzil itu merupakan simbolik kepada dirinya yang berjaya melepasi segala kekalutan setelah mengharungi tempoh sukar sebelum ini.

“Kita tak boleh bersedih dan kena bangkit daripada segala masalah. Saya anggap dengan terhasilnya lagu Beribu Rasa ini akan mengubat rindu peminat dan dalam masa yang sama menjadi semangat kepada saya untuk terus maju dalam bidang seni.

“Sebenarnya tema yang dipilih juga kena dengan situasi semasa. Ada segelintir lelaki putus cinta dan ditinggal kekasih tapi masih juga mahukan orang yang sama. Itu yang diangkat dalam lagu ini,” katanya.

Beribu Rasa adalah terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Univesal Music.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca