Penyanyi lagenda Bollywood, Lata Mangeshkar meninggal dunia
SELEPAS hampir sebulan bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19, penyanyi legenda Bollywood, Lata Mangeshkar, 92 meninggal dunia pada Ahad.
Mendiang yag dimasukan ke hospital pada Januari lalu dikatakan mengalami kegagalan beberapa fungsi organ dan gagal di selamatkan.
Sebagai tanda penghormatan, kerajaan India mengumumkan dua hari untuk tempoh berkabung mulai Ahad dan bendera kebangsaan negara itu juga akan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara.
Penyanyi bersuara merdu yang pernah menyanyikan lebih 30,000 buah lagu sepanjang bergelar anak seni itu juga akan diberikan penghormatan menerusi acara pengebumian negeri yang mana ia selalunya diberikan kepada individu yang banyak berjasa kepada negara.
Bagaimanapun buat masa ini, tarikh dan tempat persemadian belum diumumkan.
Berkongsi berita duka tersebut, Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam satu hantaran di laman Twitternya menyifatkan mendiang seorang yang hebat dan tiada tandingan.
“Saya berasa sedih tidak terkata. Lata Didi yang baik hati dan penyayang telah meninggalkan kita semua. Dia meninggalkan kekosongan dalam negara kita yang tidak dapat diisi.
“Generasi akan datang akan mengingatinya sebagai seorang yang berpegang teguh kepada budaya India dan suaranya yang merdu mempunyai keupayaan yang tiada tandingannya untuk memukau orang ramai,” tulisnya.
Mendiang Lata Mangeshkar dilahirkan di bandat Indore, pada 28 September 1929. Pada usia lima tahun, beliau mula belajar muzik daripada bapanya, Deenanath Mangeshkar, yang merupakan seorang penggiat teater.
Mageshkar mendapat peluang untuk menyanyi menerusi filem pertamanya berjudul Aapki Sewa Mein pada tahun 1947. Sehingga kini penyanyi tersohor itu telah menyumbangkan suaranya untuk lebih 1,000 buah filem termasuk filem Mohabbatein dan Kabhi Kushi Kabhi Gham.
Pada 2001, beliau menerima penghormatan tertinggi negara India untuk orang awam iaitu Bharat Ratna, bagi menghargai jasanya yang tiada tara dalam dunia muzik.
Mendiang mempunyai lima orang adik-beradik dan tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang